PINTU- PINTU SYURGA

Dari Abu Hurairah R.a, dari Nabi S.a.w, sabdanya:" Sesiapa yang melakukan dua atau lebih dari jenis- jenis amal kebajikan untuk mencapai keredhaan Allah, ia akan diseru oleh Malaikat dari pintu- pintu Syurga, katanya:' Wahai hamba Allah! Pintu ini lebih baik bagimu memasukinya!' Maka sesiapa yang membanyakkan jenis sembahyang, ia tetap diseru dari pintu sembahyang, dan sesiapa yang membanyakkan jenis perjuangan, ia tetap diseru dari pintu perjuangan  dan sesiapa yang membanyakkan jenis puasa, ia tetap diseru dari pintu puasa yang bernama 'Rayyan', dan sesiapa yang membanyakkan jenis sedekah, ia tetap diseru dari pintu sedekah." Mendengarkan yang demikian, Abu Bakar R.a, berkata:" Ayah dan ibuku menjadi gelanggantimu Ya Rasulullah (dalam saat kecemasan)! Tidaklah menjadi sebarang kesusahan kepada orang yang dijemput masuk dari setiap pintu itu bahkan satu kemuliaan kepadanya, maka adakah sesiapa yang dijemput masuk dari semua pintu itu? Nabi S.a.w menjawab:" iya, ada! dan aku harap engkau seorang dari mereka yang bahagia itu."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim
)

Dalam hadis ini, Rasulullah S.a.w menerangkan tentang kemuliaan dan penghormatan yang tinggi yang diberikan oleh Malaikat pada hari Akhirat kepada orang yang membanyakkan jenis- jenis amal kebajikan yang dilakukannya.

Sesiapa dua atau lebih dari jenis- jenis amal kebajikan, sangatlah dihormati oleh Malaikat Syurga sehingga masing- masing berebut- rebut menjemputnya masuk dari pintu yang dijagainya.

Maksud mengerjakan dua atau lebih jenis- jenis amal kebajikan itu ialah: misalnya seseorang mengerjakan sembahyang fardhu ia juga mengerjakan berbagai- bagai sembahyang sunat. Demikian halnya pada amal- amal kebajikan yang lain.

Mendengarkan tentang kemuliaan yang besar yang akan didapati oleh orang yang berbahagia itu, Sayidina Abu Bakar As-Siddiq R.a, merasa gembira dan meminta penjelasan dari Rasulullah S.a.w, lalu Baginda S.a.w menerangkannya dan menyatakan harapannya semoga Sayidina Abu Bakar termasuk dalam golongan orang- orang yang beruntung itu.

SERUAN MALAIKAT

Dari Abu Ad- Darda' R.a, dari Nabi S.a.w, sabdanya:" Tidak ada satu hari yang terbit mataharinya melainkan ada di kiri kanan matahari itu dua Malaikat yang menyerukan seruan yang didengarinya oleh semua makhluk Allah selain dari Manusia dan Jin, katanya:' Wahai sekalian Manusia! Marilah kamu semua berusaha mengerjakan amal bakti kepada Tuhan kamu, kerana sesungguhnya pendapatan- pendapatan yang sedikit serta mencukupi keperluan hidup adalah lebih baik daripada pendapatan- pendapatan yang banyak serta melalaikan bekalan akhirat dan tidak masuk matahari melainkan ada di kiri kanannya dua Malaikat yang menyeru seruan yang didengari oleh semua makhluk Allah selain dari Manusia dan Jin, katanya: 'Ya Tuhan kami! Berikanlah ganti yang berganda- ganda kepada orang yang mencurahkan nikmat- nikmat yang dikurniakan kepadanya pada jalan yang diredhai Allah dan timpakanlah kerugian yang besar ke atas orang yang menahan nikmat- nikmat Allah itu daripada mengeluarkannya pada jalan yang dituntut oleh Allah."
(Hadis Riwayat Imam Ahmad dan Ibnu Hibban)


Dalam kehidupan sehari- hari, Manusia banyak berhadapan dengan perkara- perkara yang melalaikannya daripada berusaha mengerjakan amal bakti, lebih- lebih lagi perkara yang berhubung dengan harta benda dan cara membelanjakannya.

Dalam hadis ini Rasulullah S.a.w menyatakan bahawa pada tiap- tiap hari ada Malaikat yang menyeru, mengingatkan Manusia supaya:

(1) Mengajarkan apa yang disuruh dan meninggalkan segala yang dilarang untuk mencapai keredhaan Allah.

(2) Mengambil ingatan bahawa pendapatan- pendapatan yang sedikit serta mencukupi keperluan hidup di dunia meliputi harta benda dan nikmat- nikmat yang lain adalah lebih baik dari pendapatan- pendapatan yang banyak yang melalaikan dari mengerjakan amal bakti untuk mencapai kebahagiaan yang kekal di akhirat.

Diterangkan juga bahawa Malaikat itu mendoakan semoga orang yang pemurah yang berbakti pada jalan Allah dengan harta benda, ilmu pengetahuan dan tenaganya, diberi balasan yang berganda- ganda, manakala orang yang bakhil kedekut ditimpa kerugian.


SAF DI DALAM SEMBAHYANG

i). Dari Aisyah R.a, dari Nabi S.a.w, sabdanya:" Sesungguhnya Allah memberi rahmat dan Malaikatnya pula mendoakan bagi orang- orang yang masuk menutup celah- celah saf sembahyang serta orang- orang yang merapatkan, dan orang yang masuk menutup celah saf sembahyang itu (akan beroleh satu tambahan lagi, iaitu) diangkatkan Allah martabatnya dengan perbuatannya yang tersebut satu darjat."
(Hadis Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)


ii). Dari Al-Barak Bin 'azib R.a, Nabi S.a.w, sabdanya: "Sesugguhnya Allah memberi rahmat dan Malaikat-Nya pula mendoakan bagi orang- orang yang sembahyang pada saf yang pertama".
(Hadis Riwayat Iman Ahmad dan Abu Daud)


Sembahyang berjemaah mempunyai kelebihan yang besar, dan kedudukan saf dalam sembahyang berjemaah itu dikehendaki tiap- tiap seorang menjaganya dengan baik supaya tidak terputus atau tidak ada celah- celahnya.

Dalam hadis ( i ), Rasulullah S.a.w menerangkan bahawa orang- orang yang mengambil berat menjaga saf dengan sebaik- baiknya akan diberi rahmat oleh Allah S.w.t, dan mereka akan didoakan oleh Malaikat semoga dosa mereka diampuni Allah.

Selain dari itu, orang- orang masuk menutup celah saf sembahyang pula akan ditinggikan martabatnya oleh Allah S.w.t.

Dalam hadis yang ke ( ii ) pula diterangkan tentang kelebihan saf yang pertama dalam sembahyang berjemaah dan balasan yang sebaik- baiknya yang didapati oleh orang yang mengambil tempatnya dalam saf yang pertama itu.

KEJADIAN ANAK ADAM

Di antara Malaikat, ada yang ditugaskan mengenai kejadian manusia dalam kandungan rahim ibunya.

Seperti mana dalam hadis dari Anas R.a, dari Nabi S.a.w, sabdanya: " Sesungguhnya Allah telah menugaskan satu Malaikat berhubung dengan peringkat- peringkat kejadian anak dalam kandungan rahim ibunya dan keadaan- keadaan yang akan dilalui dan didapatinya, apabila air benih itu jatuh ke dalam rahim, malaikat bertanya: 'Wahai Tuhan! Air benih ini akan disempurnakan kejadiannya atau tidak? Ya Tuhanku! Darah seketul ini akan disempurnakan kejadiannya atau tidak? Ya Tuhan! Daging segumpal ini akan disempurnakan kejadiannya atau tidak?' Maka apabila Allah hendak disempurnakan jadinya seorang anak, Malaikat bertanya lagi: 'Ya Tuhan! Adakah ia seorang (yang bernasib) celaka atau (yang bernasib) bahagia? Lelaki kah ia atau perempuan? Bagaimana pula keadaan rezekinya dan ajalnya?' (Setelah Malaikat mendapat jawapan) maka ia menulis sebagaimana yang telah diperintahkan sedang anak itu dalam perut ibunya."
(Hadis Riwayat Bukhari, Muslim
dan Imam Ahmad)

Dalam hadis ini, Rasulullah S.a.w menyatakan bahawa setiap anak dalam kandungan ibunya ada Malaikat yang ditugaskan Tuhan mengenai peringkat- peringkat kejadiannya, mulai dari jatuhnya air benih ke dalam rahim ibunya sehinggalah ia cukup sifat- sifatnya sebagai seseorang manusia dan Malaikat inilah juga yang menulis apa- apa jua yang berhubung dengannya meliputi rezeki dan ajalnya dan nasib baik atau buruknya.

Kesimpulannya: Setiap seseorang anak Adam itu dijadikan oleh Allah S.w.t menurut apa yang telah diaturkannya.

SERUPA SYAITAN

Dari Abdullah Bin Mas'ud R.a, katanya: telah bersabda Rasulullah S.a.w: " Pembunuhan seseorang Islam terhadap saudara Islam yang lain adalah Kufur dan memaki- maki seorang Islam itu adalah maksiat."
(Hadis Riwayat Tirmizi)


Hadis ini menerangkan bahawa memaki dan busuk mulut itu adalah tabiat yang keji dan jahat. Maka itu syara' mengeji dan menegahkan berbuat demikian kerana memaki itu suatu yang menyakiti hati orang yang dilawannya lalu banyak terjadinya perkelahian dan berjawab cakap dengan suara yang keras.

Adakalanya memaki itu berlaku dengan sebab kebiasaan mulutnya yang diperolehinya dari aktiviti bercampur gaul dengan orang- orang yang jahat dan berkawan dengan orang- orang yang busuk mulut yang suka mempermaki dan mencarut- carut yang mana sudah menjadi tabiat bagi mereka suka memaki, mencarut dan mencaci sesama Islam.

Telah berkata seorang sahabat bagi Nabi S.a.w namanya 'iyadh Bin Hamar R.a, katanya: ' Ya Rasulullah! Bahawasanya seorang lelaki daripada kaumku memaki- maki akan diriku padahal ia kurang tarafnya daripadaku. Jadi, apakah salahnya atas diriku melawan dia dengan memakinya.' Maka Rasulullah S.a.w bersabda: " Dua orang yang bermaki- makian itu kedua- duanya serupa syaitan, berlawan, membohongi dan memperlekeh antara satu sama lain."
(Hadis Riwayat Tarimizi)

SYARIAT LAIN MANSUH

Dari Jabir R.a, bahawa Rasulullah S.a.w bersabda: " Demi Tuhan yang diri Muhammad dalam kekuasaannya! Kalaulah Nabi Musa muncul kepada kamu, lalu kamu mengikutinya dan meninggalkan daku, sudah tentu kamu akan sesat dari jalan yang betul dan kalaulah Nabi Musa masih hidup lagi dan berada dalam masa aku menjadi nabi, sudah tentu ia menurutku."
(Hadis Riwayat Al-Darami)


Hadis ini menerangkan bahawa syariat Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.a.w memansuhkan syariat- syariat yang lain.

Rasul- rasul yang diutus oleh Allah S.w.t kepada kaum masing- masing banyak bilangannya. Di antaranya ada yang diturunkan kitab kepadanya seperti Nabi Musa A.s yang menerima kitab Taurat.

Dalam hadis ini, Rasulullah S.a.w menjelaskan bahawa syariat Islam yang dibawanya adalah memansuhkan syariat Rasul- rasul yang telah lalu. Oleh itu, tidak harus bagi sesiapapun yang ada pada zaman Baginda S.a.w atau yang datang kemudian iaitu menurut syariat- syariat yang telah mansuh itu, apalagi agama- agama yang direka oleh manusia sendiri.

Tentang ini Baginda S.a.w menegaskan bahawa kalaulah Nabi Musa A.s tiba- tiba muncul pada zaman Baginda S.a.w dan ada orang- orang Islam yang menurutnya dengan meninggalkan syariat Islam yang dibawa oleh baginda S.a.w, nescaya orang itu termasuk dalam golongan yang sesat kerana ia menurut syariat yang telah mansuh. Pada hal iaitu tegas Baginda S.a.w, sekiranya Nabi Musa A.s masih hidup dalam masa kerasulan Baginda S.a.w, nescaya Nabi Musa juga akan menurut syariat Islam yang dibawa oleh Baginda S.a.w.

Jelasnya, agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.a.w adalah lengkap mengandungi hukum hakam dan cara peraturan meliputi segala bidang hidup yang menjadikan sesuai dengan keadaan umat manusia dalam segala zaman dan di mana sahaja mereka berada selagi sifat kemanusiaan tidak berubah, sehinggakan Nabi Isa A.s semasa turun pada akhir umur dunia kelak akan melanjutkan dan mengembangkan lagi syariat Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.a.w.

Sepertimana yang disebutkan di dalam hadis berikut:

Dari Abu Hurairah R.a, katanya: Rasulullah S.a.w bersabda: " Sungguh baik keadaan kamu ketika Isa Ibnu Maryam turun dalam kalangan kamu, lalu ia memimpin kamu." Salah seorang rawi hadis ini (Ibnu Abi Zi'b) menerangkan dengan katanya: "Lalu ia memimpin kamu dengan menurut kitab Allah Al-Quran dan sunnah nabi kamu S.a.w."
(Hadis Riwayat Muslim) 


PERKATAAN SUATU DOA

Dari Ummu Salamah R.a, katanya: Rasulullah S.a.w telah masuk menziarahi Abu Salamah sedang mata Abu Salamah terbuka, lalu Nabi S.a.w menutupnya, kemudian Baginda bersabda:" Sesungguhnya roh apabila ia diambil oleh Malaikat akan diturut oleh pandangan mata (si mati itu)", (mendengar yang demikian) sebahagian dari keluarganya riuh rendah (menangis dan menyebut- nyebut kemalangan yang mendukacitakan mereka), lalu Baginda S.a.w bersabda:" Janganlah kamu menyebut- nyebut perkara- perkara yang buruk yang merosakkan kamu, tetapi sebutlah perkara- perkara yang baik, kerana Malaikat memohon supaya Tuhan kabulkan apa yang kamu katakan samada baik atau buruk". Kemudian Baginda S.a.w berdoa dengan sabdanya: " Ya Tuhanku! Ampunkanlah dosa Abu Salamah dan tinggikanlah darjatnya bersama orang- orang yang mendapat hidayah petunjuk, dan jadilah sebagai gantinya untuk mengurus dan melindungi keluarganya yang ditinggalkan, dan ampunkanlah bagi kami dan baginya Ya Rabbal 'aalamiin, dan lapangkanlah kuburnya serta berilah kepadanya cahaya yang menerangi kuburnya."
(Hadis Riwayat Muslim)

PERISTIWA AKHIR ZAMAN

Dari Nawwas Bin Sam'an R.a, katanya: Rasulullah S.a.w menyebut perihal dajjal serta menyatakan: "..sebenarnya dajjal itu seorang muda yang rambutnya kerinting, biji matanya timbul (buta sebelah),...sebenarnya ia akan keluar di satu jalan di antara negeri Syam dengan negeri Iraq, serta ia akan melakukan kerosakan di serata tempat yang ia sampai kepadanya (dengan menjadikan kampung orang itu yang menerima dakwaannya sebagai Tuhan itu mewah makmur, dan kampung orang yang enggan menerima dakwaannya itu susah meleset, dan dengan menunjukkan kepandaian sihirnya dengan menjadikan tempat yang terbiar dan tanah yang kering kontang mengeluarkan khazanah buminya dan tumbuh- tumbuhan yang menghijau subur, juga menjadikan orang muda yang kuat gagah terpenggal badannya dan dicampakkan yang satu jauh dari yang satu lagi kemudian diserunya, lalu kedua potongan badan itu bersatu dan orang muda itu pun hidup semula dengan tersenyum- senyum seolah- olah tidak ada sesuatu yang menimpanya. Demikian juga mana- mana yang menyembahnya dimasukkan ke dalam syurganya yang dirasai oleh orang itu sebagai neraka, sebaliknya orang yang enggan menyembahnya dimasukkan ke dalam nerakanya yang dirasai oleh orang itu sebagai syurga dan lain- lain lagi)". Nabi S.a.w bersabda lagi: " Wahai kalian hamba Allah! Setelah kamu mengetahui demikian maka tetapkanlah iman kamu, jangan terpengaruh kepada dakwaannya!". Kami bertanya: " Ya Rasulullah! Berapa lama ia bermaharajalela di bumi?". Baginda S.a.w menjawab: " empat puluh hari iaitu pada
hari yang pertama..panjangnya seperti setahun, dan hari yang kedua..panjangnya seperti sebulan, dan hari yang ketiga..seperti seminggu, manakala hari- hari yang lain seperti hari- hari kamu yang biasa." kami bertanya lagi, "Ya Rasulullah! Jika demikian, hari yang panjangnya seperti setahun itu misalnya cukupkah kami mengerjakan padanya sembahyang untuk sehari?". Baginda S.a.w menjawab: " tidak, kirakanlah masa untuk mengerjakan sembahyang itu sekadar masa yang biasa kamu lakukan,"...Baginda S.a.w menerangkan lagi: " semasa dajjal itu bermaharajalela, Allah S.w.t menghantar turun Nabi Isa Al- Masih anak Maryam lalu ia turun berhampiran dengan menara putih yang letaknya di timur bandar Damsyik. Maka Nabi Isa pun mengajar dajjal sehingga dapat menawannya di pintu qariah yang bernama 'lud', lalu membunuhnya. Setelah itu datanglah suatu kaum yang Allah selamatkan dari bencana dajjal itu mengadap Nabi Isa A.s, lalu Nabi Isa hapuskan kesan kedukaan dan kesedihan dari air muka mereka dengan menyatakan bahawa dajjal telah pun dibunuh serta mengembirakan mereka dengan darjat- darjat kedudukan mereka di dalam syurga," Nabi S.a.w menerangkan lagi: " bahawa semasa Nabi Isa sedang menerangkan perkara- perkara yang mengembirakan mereka, Allah S.w.t mewahyukan kepada Nabi Isa dengan firman-Nya: ' bahawa Aku telah mengeluarkan sekumpulan hamba- hamba-Ku (yakjuj dan makjuj) yang tidak ada daya upaya bagi sesiapa pun memerangi mereka, oleh itu maka bawalah hamba- hamba-Ku yang bersama- samamu berlindung di Bukit Tursina,' dan Allah S.w.t mengeluarkan yakjuj dan makjuj. Mereka pun meluru turun dari tiap- tiap tempat yang tinggi, Nabi Isa dan pengikut- pengikutnya pun terkepung lama di
bukit itu sehingga kepala lembu menjadi lebih berharga dan lebih baik kepada mereka dari seratus dinar kepada seorang kamu sekarang. Lalu Nabi Isa dan pengikut- pengikutnya merayu kepada Allah supaya membinasakan musuh mereka. Maka Allah S.w.t hantarkan ulat- ulat menyerang batang leher yakjuj dan makjuj itu, mereka pun mati bergelimpangan dengan serentak  seperti matinya satu jiwa. Kemudian Nabi Isa dan pengikut- pengikut-Nya turun dari bukit itu, lalu mereka dapati tidak ada barang sejengkal pun di bumi melainkan penuh dengan bau hapak dan busuk di sebabkan oleh bangkai yakjuj dan makjuj itu. Maka Nabi Isa dan pengikut- pengikutnya merayu lagi kepada Allah, lalu Allah S.w.t hantarkan kumpulan burung yang batang lehernya seperti batang leher unta, maka kumpulan burung itu pun mengikut serta mencampakkan bangkai- bangkai itu ke tempat yang dikehendaki Allah. Kemudian Allah S.w.t  turunkan hujan lebat yang sebarang bangunan tidak dapat menahan airnya daripada meliputi serta mencuci muka bumi sehingga menjadi bersih dan rata seperti cermin. Kemudian Allah S.w.t berfirman kepada bumi: ' tumbuhkanlah tanamanmu serta keluarkanlah buahmu, dan kembalikanlah segala nikmatmu'. Maka pada masa itu sebilangan orang boleh kenyang dengan memakan sebiji  buah delima, dan boleh berteduh dengan kulitnya, dan pada masa itu juga diberkatkan Tuhan pada susu sehingga susu seekor unta perahan, mencukupi untuk diminum oleh satu kaum yang besar jumlahnya, dan susu seekor lembu perahan, mencukupi untuk diminum oleh satu kabilah, dan susu seekor kambing perahan, mencukupi untuk diminum oleh satu suku kaum." Nabi S.a.w bersabda lagi: " semasa manusia sedang menikmati kemakmuran dan kemewahan yang tersebut, tiba- tiba Allah S.w.t menghantarkan sejenis angin yang baik, lalu memgambil nyawa tiap- tiap orang yang baik iaitu mukmin dan muslim. Dan tinggallah sahaja orang- orang yang jahat dengan keadaan bercakaran sesama sendiri dan berhubung jenis seperti haiwan, maka pada zaman mereka inilah berlakunya hari kiamat." (dan pada satu rawi yang lain: " kemudian Allah menghantarkan sejenis angin yang sejuk nyaman, yang datangnya dari arah negeri Syam, maka pada saat itu tidak tinggal di atas muka bumi seorang pun yang terdapat di dalam hatinya seberat zarah kebaikan atau iman melainkan diambil nyawanya oleh angin itu." Nabi S.a.w bersabda lagi: " maka tinggallah sahaja orang- orang jahat yang cepat bergerak melakukan maksiat dan kederhakaan secepat burung terbang dan yang menceroboh serta menzalimi satu sama lain seperti binatang buas, mereka tidak suka dan tidak mengenal perkara yang baik, dan tidak benci serta tidak melarang daripada melakukan perkara yang buruk. Pada saat itu syaitan menyamar diri kepada mereka serta bertanya: ' tidak malukah kamu meninggalkan jalan mendampingkan diri kepada Allah? Tidak mahukah kamu menurut ajakanku?' Maka mereka bertanya: ' jika demikian, apa yang engkau suruh kami lakukan?'. Syaitan pun menyuruh mereka menyembah berhala untuk mendampingkan diri mereka dengan Tuhan (konon), mereka menerima ajakan syaitan itu lalu menyembah berhala, sedang rezeki mereka mencurah- curah dan penghidupan mereka baik dan mewah, kemudian ditiup sangkakala yang pertama yang mematikan segala yang bernyawa...").
(Hadis Riwayat Muslim)

10 ALAMAT

Dari Khuzaifah Bin Asid Al- Ghifari R.a, katanya: Rasulullah S.a.w menjenguk kepada kami sedang kami ingat mengingati satu sama lain, lalu Baginda S.a.w bertanya: " Apa yang kamu ingat mengingatkan itu?". Kami menjawab: " kami memgingati perihal hari kiamat dan saat berlakunya". Nabi S.a.w bersabda: " sesungguhnya saat kiamat tidak akan berlaku melainkan setelah kamu melihat sebelumnya sepuluh alamat." lalu Baginda S.a.w menyebut alamat atau tanda- tanda itu iaitu yang antaranya asap, dajal, dabbatul ard, terbit matahari dari pihak masuknya (dari pihak barat), turunnya Nabi Isa anak Maryam, dan yakjuj dan makjuj......"
(Hadis Riwayat Muslim)

3 HARI SEBELUM WAFAT

Dari Jabir R.a, katanya: aku ada mendengar Rasulullah S.a.w bersabda iaitu tiga hari sebelum baginda wafat: " Janganlah seseorang kamu mati melainkan ia berkeadaan menaruh syak baik terhadap Allah (yang melimpah- limpah kemurahannya)."
(Hadis Riwayat Muslim)

Hadis tersebut menerangkan bahawa perasaan takut kepada kemurkaan Allah dan perasaan mengharapkan rahmat Allah iaitu apabila berada dalam hati seseorang, terutama semasa orang itu dalam keadaan hampir menemui ajalnya, tetap mendapat penghargaan yang tinggi dari Allah S.w.t.

Meskipun demikian, tiap- tiap seorang dalam masa ia masih sihat dan bertenaga menjalankan tugasnya, tertuntut mengambil berat mengisi jiwanya dengan perasaan gerun gementar terhadap kemurkaan Allah, supaya ia tidak terdorong mencuaikan suruhan-Nya dan melanggar segala larangan-Nya.

Sebaliknya semasa ia terlantar menghadapi "Sakaratul Maut", hendaklah ia menumpukan harapannya kepada Allah S.w.t yang melimpah- limpah rahmat-Nya.

Wallahu a'lam.

SEKADAR MANA SUKA

Dari Abi Bin Ka'ab R.a, katanya:.."ya Rasulullah! Aku banyak menggunakan masa berdoa, memohon rahmat untuk diriku, sekarang aku hendak untukkan masa berselawat bagi Tuan, maka sebanyak mana yang elok aku untukkan?" Baginda S.a.w menjawab: " sekadar mana yang engkau suka", Aku berkata: " aku hendak untukkan sesuku dari masaku", Baginda S.a.w bersabda: " sekadar mana yang engkau suka, dan jika engkau lebihkan lagi, maka itu lebih baik untukmu", aku berkata: " kalau begitu aku untukkan setengah dari masaku",  Baginda S.a.w bersabda: " suka hatimu lah, maka jika engkau lebihkan lagi, maka itu lebih baik bagimu", Aku berkata: " kalau demikian aku untukkan dua per tiga dari masaku", Baginda S.a.w bersabda: " suka hatimu lah dan jika engkau lebihkan lagi, maka itu lebih baik untukmu",  Aku berkata: " (kalau begitu) aku jadikan masa berdoaku semuanya untuk berselawat kepada Tuan.", Baginda S.a.w bersabda: " jika demikian terpeliharalah dan terselamatlah engkau dari apa yang mendukacitakan dan membimbangkanmu, samada perkara dunia mahupun perkara akhirat dan diampunkan dosamu...."
(Hadis Riwayat Tarmizi, Imam Ahmad dan Al Hakam) 

BEKALAN KE SYURGA

Dari Abu Sa'id Al-Khudri R.a, katanya: aku ada mendengar Rasulullah S.a.w bersabda: " Sebutkanlah kepada orang- orang kamu yang hendak mati 'La ilaaha illallah', kerana sesungguhnya tidak ada seseorang hamba Allah yang diberikannya kemudahan mengakhiri keadaannya dengan kalimah itu semasa ia hampir mati, melainkan kalimah itu menjadi bekalannya ke syurga."
(Hadis Riwayat Muslim)

MUNCULNYA MAHDI SAAT KEADILAN DI BUMI

Dari Abu Sa'id Al-Khudri R.a, katanya, Rasulullah S.a.w telah menyebut satu bala bencana akan menimpa umat ini sehingga seseorang tak dapat tempat untuk belindung daripada kezaliman, maka Allah S.w.t lahirkan seseorang dari keturunanku dan ahli rumahku, serta Tuhan penuhkan bumi dengan kejujuran dan keadilan disebabkan pemerintahannya, sebagaimana bumi sebelum itu penuh dengan kezaliman dan kecurangan, penduduk langit dan bumi puas hati dengan pemerintahannya, langit pula tidak meninggalkan sedikitpun dari hujannya melainkan dicurahkannya dengan lebat dan bumi juga tidak meninggalkan dari tumbuh- tumbuhannya melainkan dikeluarkannya dengan sebanyak- banyaknya, sehingga orang- orang yang hidup suka kalau orang- orang matinya hidup semula (supaya mereka dapat menikmati kemakmuran itu bersama), Mahdi itu akan hidup dalam keadaan yang tersebut selama tujuh atau lapan tahun, ataupun sembilan tahun."
(Hadis Riwayat Al- Hakam)

SATU PUAK PENCACI

Dari 'Uwaimi Bin Sa'idah R.a, bahawa Rasulullah S.a.w, sabdanya: " Sesungguhnya Allah telah memilihku dan memilih untukku beberapa sahabat serta ia jadikan di antara menteri- menteriku, mertua- mertuaku dan menantuku, juga penolong- penolongku, oleh sebab itu sesiapa yang memburuk- memburuk dan mencaci mereka, maka tertimpalah di atasnya laknat Allah dan Malaikat serta Manusia seluruhnya, Allah tidak akan menerima daripadanya sebarang ibadat dan juga sebarang tebusan."
(Hadis Riwayat Tabrani)


Dalam hadis lain juga menyebut:

Dari Anas R.a, dari Nabi S.a.w sabdanya: " Sesungguhnya Allah telah memilihku dan memilih untukku beberapa sahabat dan mertua serta menantu- menantu, dan (ingatlah) akan datang suatu puak yang mencaci dan membenci mereka, maka janganlah kamu bersekedudukan dengan mereka dan janganlah kamu semakan seminum dengan mereka dan jangan jua kamu bersemenda dengan mereka."
(Hadis Riwayat Al-Baihaqi)

NASIHAT DARI YAHUDI

Dari Jabir R.a, dari Nabi S.a.w, (mengenai peristiwa) ketika Umar datang mengadap Baginda S.a.w lalu berkata: " (Ya Rasulullah!) kami ada mendengar cerita- cerita dan nasihat pengajaran yang menarik hati dari orang- orang yahudi, maka bagaimana fikiran tuan, bolehkah kami menulis sebahagian daripadanya?"  (mendengar yang demikian) Baginda S.a.w bersabda: " Adakah kamu merasa ragu- ragu dan serba salah (dalam ajaran agama kamu) sebagaimana kaum yahudi dan nasrani yang telah ragu- ragu dan meraba- raba (dalam ajaran agama mereka)? Demi sesungguhnya! Aku telah membawa kepada kamu agama Islam dengan keadaannya yang jelas nyata dan bersih suci (dari sebarang perkara syirik dan penyelewengan), dan kalaulah nabi Musa masih hidup lagi, (sudah tentu) tidak ada jalan lain baginya selain daripada menurutku."
(Hadis Riwayat Imam Ahmad dan Al- Baihaqi)

KEADILAN BALASAN

Dari Abu Sa'id Al- Khudri R.a, bahawa Nabi S.a.w bersabda: " Tidak ada seseorang  yang melakukan sesuatu perbuatan aniaya terhadap orang lain di dunia dengan tidak menyerah dirinya kepada orang itu untuk membalasnya, nescaya Tuhan akan menyerahkannya kepada orang itu supaya membalasnya pada hari kiamat."
(Hadis Riwayat Al-Baihaqi) 

QADAR TAKDIR (2)

Dari Ibnu Al-Dailami, katanya: aku telah pergi berjumpa Abi Bin Ka'ab, lalu aku berkata kepadanya:" Terlintaslah dalam hatiku sedikit kemusykilan mengenai soal qadar takdir, maka terangkanlah kepadaku suatu hadis mengenainya semoga Allah menghilangkan kemusykilan itu dari hatiku", Abi pun berkata: "...dan kalaulah engkau dermakan pada jalan Allah emas sebesar gunung Uhud sekalipun, tidak akan diterima Allah daripadamu sehingga engkau percaya dan mengakui benarnya qadar takdir dan sehingga engkau meyakini bahawa apa yang telah ditakdirkan kena atau sampai kepadamu tidak sekali- kali akan menyimpang daripadamu dan bahawa apa yang telah ditakdirkan menyimpang daripadamu tidak sekali- kali akan kena atau sampai kepadamu dan kalaulah  engkau mati dengan kepercayaan yang lain dari ini, nescaya engkau masuk neraka", kata Ibnu Al-Dailami lagi: kemudian aku pergi berjumpa Abdullah Bin Mas 'ud, lalu ia menyatakan seperti itu, kata Ibnu Al-Dailami lagi: kemudian aku pergi berjumpa Huzaifah Bin Al-Yamani maka ia pun menyatakan yang seperti itu juga, kata Ibnu Al- Dailami lagi: kemudian aku pergi berjumpa Zaid Bin Sabit maka ia meriwayatkan kepadaku hadis dari Nabi S.a.w yang seperti itu juga maksudnya."
(Hadis Riwayat Abu Daud)

Dalam hadis lain juga ada menyebut perihal qadar takdir iaitu:

Dari Jabir R.A, bahawa Nabi S.A.W bersabda:" Tidak dikira seseorang beriman sehingga ia percaya dan mengakui benarnya qadar takdir, baik dan jahatnya, dan sehingga ia  menyakini bahawa apa yang ditakdirkan kena atau sampai kepadanya tidak akan sekali- kali akan menyimpng daripadanya dan apa yang ditakdirkan menyimpang daripadanya tidak sekali- kali akan kena atau sampai keapadanya."
(Hadis Riwayat Tarmizi)



 

DUA PERKARA MEMBIMBANGKAN

Dari Jabir R.a bahawa Nabi S.a.w bersabda:" Sesungguhnya perkara- perkara yang sangat aku bimbangkan terhadap umatku ialah hawa nafsu dan panjang cita- cita, kerana hawa nafsu itu menghalang daripada menerima kebenaran dan panjang cita- cita itu melengahkan amal- amal akhirat. Dan ingatlah! Dunia ini pada setiap saatnya berjalan pergi dan akhirat pula pada setiap saatnya berjalan datang, sedang tiap- tiap satunya ada orang yang kasih dan setia kepadanya. Oleh itu, kalau kamu dapat menahan diri daripada menjadi orang- orang yang kasih dan setia kepada dunia maka buatlah, kerana kamu pada hari ini berada di kampung yang ada padanya peluang untuk kamu beramal dan belum ada sebarang hisab, kamu pada hari esok akan berada di kampung akhirat yang ada padanya hisab dan tidak ada peluang bagi sebarang amal".
(Hadis Riwayat Al-Baihaqi)

Dalam hadis ini, Rasulullah S.a.w menjelaskan, mengapa hawa nafsu dan panjangnya cita- cita itu merupakan perkara- perkara yang sangat dibimbangkan oleh Baginda S.a.w terhadap umatnya?

Menurut penjelasan Baginda S.a.w, hawa nafsu itu menghalang seseorang daripada menerima dan mengikut kebenaran yang menjadi syarat mutlak bagi mencapai keselamatan, manakala panjang cita- cita pula menyebabakan seseorang mencuaikan soal- soal akhirat yang semestinya diutamakan.

Baginda S.a.w menyatakan lagi bahawa dunia ini sentiasa berjalan pergi, sedang akhirat sentiasa berjalan datang, dan kerana itu tiap- tiap seseorang jangan mengutamakan dunia yang sedang berjalan pergi, bahkan hendaklah sungguh- sungguh berusaha mengerjakan amal bakti kerana dunia ini dijadikan Tuhan untuk orang mukmin bertaqwa dan mengambil bekal untuk akhirat, tempat yang tidak ada peluang padanya bagi seseorang beramal, bahkan ada padanya hisab dan balasan.

Sayugia disebut bahawa segala usaha manusia untuk faedah dirinya, anak pinaknya, kaum keluarganya, masyarakatnya dan negaranya adalah semuanya itu termasuk dalam amal bakti yang menjadi bekal seseorang untuk kebaikannya pada hari akhirat, asalkan semuanya itu diusahakan dan dijalankan dengan bersih suci dan tidak menyalahi ajaran syara' serta dengan tujuan mengharapkan keredhaan Allah yang Maha limpah rahmat-Nya.

Dengan penjelasan dan keterangan hadis ini nyatalah bahawa hawa nafsu yang dibimbangkan oleh Rasulullah S.a.w itu ialah hawa nafsu yang menyalahi kebenaran bukan yang mematuhi kebenaran, dan bahawa panjangnya cita- cita yang dibimbangkan oleh Baginda S.a.w itu ialah yang meleka dan mengabaikan amal akhirat bukan yang bertujuan menyempurnakan amal- amal yang diredhai Tuhan.

Dengan yang demikian, maka sebarang rancangan kemajuan dan kebajikan yang diatur dan dijalankan oleh seseorang, atau sesebuah badan, atau negara, tidaklah termasuk dalam perkara yang dibimbangkan oleh Rasulullah S.a.w, asalkan rancangan- rancangan itu dan orang- orang yang menjalankannya tidak menyalahi kebenaran yang ditetapkan oleh syara' dan tidak pula amalan akhirat dilalaikan dan diabaikan dengan sebab rancangan- rancangan itu dijalankan.

Wallahu a'lam.

LIMA PELUANG

Dari 'Amru Bin Maimun Al Awdi R.a, katanya, Rasulullah S.a.w bersabda kepada seseorang, menasihatkannya:" Rebutlah peluang lima keadaan sebelum datangnya lima yang lain iaitu keadaan mudamu sebelum keadaan tuamu, dan keadaan sihatmu sebelum datangnya keadaan sakitmu, dan keadaanmu berada sebelum datangnya keadaanmu berhajat dan keadaan lapangmu sebelum datangnya keadaan sibukmu dan keadaanmu masih hidup sebelum datangnya matimu."
(Hadis Riwayat Al-Tarmizi)

Dalam hadis ini Rasulullah S.a.w menggalakkan umatnya supaya tiap- tiap seorang merebut peluang- peluang yang masih terbuka untuk mengerjakan amal- amal kebajikan, kerana amal- amal yang baik sahajalah yang menyebabkan seseorang diredhai Allah dan berjaya di dunia dan di akhirat.

Dalam hadis ini, junjungan kita Nabi S.a.w menerangkan bahawa peluang- peluang yang baik terdapat dalam lima keadaan dan akan lenyap apabila berlaku keadaan- keadaan yang sebaliknya.

(1) Semasa seseorang  itu muda dan kuat, akan lenyap semasa ia tua dan lemah.

(2) Semasa ia sihat dan segar, akan lenyap apabila ia itimpa penyakit.

(3) Semasa ia senang mewah, akan lenyap apabila ia miskin dan memerlukan bantuan.

(4) Semasa ia lapang, akan lenyap apabila ia sibuk dengan sesuatu yang tak dapat dielak.

(5) Semasa ia masih hidup, akan lenyap apabila ia meninggal dunia dan terhenti segala amal usahanya.

Wallahu a'lam.

LINTASAN HATI

Dari Ibnu Mas'ud R.a, bahawa Rasulullah bersabda:" Sesungguhnya syaitan ada baginya bisikan ke hati anak Adam dan Malaikat juga ada bisikannya, ada pun bisikan syaitan itu ialah galakannya supaya seseorang melakukan kejahatan dan mendustakan kebenaran dan bisikan malaikat pula ialah galakannya supaya seseorang mengamalkan kebaikan dan meyakini kebenaran. Oleh itu sesiapa yang terasa bisikan yang baik, maka hendaklah ia mengetahui bahawa perkara itu dari Allah serta hendaklah ia bersyukur kepada Allah dan sesiapa yang terasa bisikan yang satu lagi maka hendaklah ia meminta perlindungan Allah dari angkara syaitan".
(Hadis Riwayat Tarmizi dan Nasa'ie)

Setiap manusia ada mempunyai lintasan hati yang berlainan kerana berlainan sebabnya.

Dalam hadis ini, Rasulullah S.a.w menyatakan bahawa ada Malaikat yang bertugas memancarkan ke dalam hati manusia perasaan suka berbuat kebajikan dan menerima kebenaran, sebagaimana syaitan membisik- bisikkan lintasan jahat ke dalam hati manusia untuk melakukan kejahatan dan menolak kebenaran.

Lintasan perasaan yang dipancarkan oleh Malaikat ke dalam hati manusia untuk melakukan perkara- perkara yang baik itulah yang dinamakan "ilham", adapun bisikan- bisikan yang mendorong manusia melakukan perkara- perkara yang jahat tidak sekali- kali dinamakan ilham bahkan dinamakan "Was-was dari Jin Syaitan" yang diperintahkan kita memohon perlindungan kepada Allah daripadanya seperti yang tersebut dalam surah An-Nas.

Oleh itu, tiap- tiap seorang bila terasa sesuatu lintasan hati hendaklah lebih dahulu dipertimbangkan dengan neraca syarak, jika bersesuaian hendaklah dikerjakan dan jika tidak, hendaklah berhenti daripada meneruskannya.

Wallahu a'lam.

SEDEKAH MEMBERATKAN PAHALA

Dari Abu Dzar R.a, Nabi S.a.w bersabda:" Seorang ahli ibadat daripada orang Yahudi telah berbuat ibadat kepada Allah S.w.t selama enam puluh tahun, kemudian turunlah hujan dan menyuburkan bumi (tanah). Lalu Yahudi itu melihat ke luar dan berkata- kata di dalam hatinya dalam ia memikirkan tentang bumi:" Kalau aku turun ke bumi dan berzikir kepada Allah tentulah bertambah baik." Maka ia pun turun dengan membawa bersamanya sekeping roti. Dalam waktu ia di bumi itu ia pun terjumpa seorang perempuan yang membuatnya sentiasa ingin bercakap- cakap dengannya sehingga ia menyukai perempuan itu lalu berbuat zina dengannya. Selepas itu ia pun pengsan. Apabila ia tersedar dari pengsannya ia pun pergi ke satu lopak air dan bermandi. Tiba- tiba ketika itu datanglah seseorang yang lapar sedang meminta sesuatu kepadanya dan diisyaratkannya kepada roti sekeping itu. Maka Yahudi itu pun memberinya. Kemudian ia meninggal dunia." Sabda Nabi S.a.w lagi:" maka ditimbang ibadatnya selama enam puluh tahun dengan sekali berzina tadi maka dosa zinanya lebih berat daripada pahala ibdatanya selama enam puluh tahun itu kemudian diletakkan pula pahala sekeping roti yang disedekahkannya. Tiba- tiba jadi berat pahala itu maka diampunkan dia dosanya."
(Hadis Riwayat Ibnu Hibban)

MALU KEPADA ALLAH S.W.T

Dari Ibnu Mas 'ud R.a, Nabi S.a.w telah bersabda:" hendaklah kamu sekalian malu dengan sebenar- benar malu kepada Allah S.w.t iaitu bahawa engkau pelihara akan kepala (pelihara fikiranmu itu baik- baik), biar sentiasa ia berfikir dan ingat akan Tuhan pada sekalian yang kamu perbuat, kerana Tuhan itu sentiasa melihat apa kerja kamu, maka kamu mesti beringat- ingat ketika mengerjakan sesuatu itu. Jika sekiranya baik dan diizin Allah maka lakukan ia dan jika ditegah Allah maka jauhkanlah. Peliharalah barang yang melengkapi kepala itu daripada mata, telinga, mulut, lidah dan hidung sebagaimana memelihara akan fikiran jua. Dan bahawa kamu pelihara akan perut dan barang yang meliputinya daripada faraj, kaki dan tangan sebagaimana memeliharakan kepala jua supaya mengerjakan apa yang disuruh Allah dan menjauhkan apa yang ditegah-Nya. Dan hendaklah ingat akan mati dan hancur luluh tubuh badanmu kerana tiada yang dibawa mati selain amal baik ataupun jahat. Maka jika baik, kamu mendapat balasan baik dan jika jahat, balasannya jahat. Oleh itu banyakkanlah mengingati mati dan kubur itu supaya kamu boleh berpaling kepada amal yang baik. Sesiapa berkehendak ia akan akhirat nescaya ditinggalnya akan perhiasan dunia kerana perhiasan dunia itu memberi gangguan bagi melakukan bekalan untuk akhirat. Betapa pula orang yang punyai banyak harta dan anak isteri itu, maka harta itu satu macam masyghulnya, dan anak isteri itu lain pula masyghulnya. Dan kedua- duanya itu memberi kebimbangan dan tidak dapat mencapai terhadap perkara yang lain melainkan tertumpu hanya menguruskan keduanya sahaja. Bagi orang yang mau membanyakkan bekalan akhirat itu tidak ada yang lebih senang melainkan mengambil harta sekadar menolong ibadatnya, tidak menempah nama dan berluas- luas dengan berbagai- bagai nikmat dunia. Dan mengambil anak isteri sekadar yang menolong bagi ibadat jua." Sabda Nabi S.a.w lagi:" maka sesiapa yang memperbuat yang demikian itu maka sebenarnya malu kepada Allah dengan sebenar- benar malu."
(Hadis Riwayat Al- Tarmizi)

BARANG YANG CACAT

Dari Wa'ilah Bin Al- Asqa' R.a, bahawa Nabi Muhammad S.a.w bersabda:" Sesiapa yang menjual sesuatu barang yang cacat dengn tidak menerangkan kecacatan itu kepada pembelinya, ia sentiasa dalam kemurkaan Allah dan Malaikat pula sentiasa melaknatnya."
(Hadis Riwayat Ibnu Majah)


Berniaga atau berjual beli amatlah penting untuk keperluan hidup manusia dalam mencapai kemakmuran, maka dalam hal pertukaran harga dengan barang hendaklah dilakukan dengan jujur dari kedua belah pihak.

Dalam hadis ini, Rasulullah S.a.w menyatakan bahawa orang yang menjual sesuatu barang yang cacat yang sengaja tidak dilahirkan atau diterangkan kepada pembeli maka ia sepanjang- panjang masa berada dalam kemurkaan Allah dan selain itu malaikat pula melaknatnya.

Balasan yang demikian adalah wajar dengan keadilan, kerana yang melakukan perbuatan itu telah merosakkan peraturan hidup yang wajib dipatuhi untuk mencapai faedah bersama.

Wallahu 'alam.

SYAITAN MUSUH MANUSIA

Dari 'Iadhar Bin Hamar Al Mujasya'ie R.a, bahawa Rasulullah S.a.w pada suatu hari bersabda dalam khutbahnya:" Ketahuilah! Sesungguhnya Tuhanku telah meme-rintahkan supaya aku mengajar kamu akan apa yang tidak kamu mengetahuinya dari perkara- perkara yang diajarkannya kepadaku hari ini, iaitu (Tuhanku berfirman):' Segala harta benda yang Aku berikan seseorang mendapatnya dengan mana- mana jalan yang Aku benarkan adalah halal, dan Aku telah jadikan hamba-Ku semuanya suci bersih (dari fahaman dan amalan syirik) serta betul benar menurut keadaan semulajadinya dan sesungguhnya mereka didatangi dan diperdayakan oleh syaitan- syaitan sehingga sebahagian besar di antara mereka menyeleweng dan terpesong dari ajaran agama yang sebenar..'."
(Hadis Riwayat Muslim)


Dengan adanya angkara syaitan yang demikian, maka Allah S.w.t yang Maha Mengasihi mengingatkan anak Adam di dalam Al-Quran Al-Karim supaya masing- masing berjaga- jaga dan mengawasi dirinya daripada fitnah iaitu hasutan syaitan dan bala tenteranya. Di antaranya pada (ayat 27, surah Al A'raf), (ayat 168 dan 169, surah Al-Baqarah), (ayat 21, surah Al- Nur) dan (ayat 5-6, surah Faatir), yang di antara maksud- maksudnya menyatakan bahawa:

(1) Syaitan: Tabiatnya menghasut, membuat fitnah, memecahbelahkan rumahtangga dan merosakkan masyarakat.

(2) Syaitan giat memujuk dan memperdayakan manusia supaya melakukan segala jenis kejahatan  dan mengatakan yang bukan- bukan terhadap Allah S.w.t.

(3) Sesiapa yang mengikut jejak langkah syaitan sudah tentunya akan binasa.

(4) Syaitan itu kepada manusia adalah musuh yang jelas nyata semenjak wujudnya Adam (bapa manusia).

(5) Wajib atas tiap- tiap seseorang memusuhi syaitan dan bisikan hasutannya sekalipun terdapat atau terasa ada kebaikan di dalamnya kerana tujuan bisikan hanyalah hendak menjadikan sesiapa yang menurutnya termasuk di dalam golongan ahli neraka.

Peringatan yang seperti itu kerapkali diulang- ulangkan oleh Allah S.w.t di dalam Al- Quran, kerana kegiatan syaitan terhadap jiwa manusia samalah seperti kegiatan kuman- kuman penyakit terhadap tubuh badannya. Kuman- kuman penyakit tidak dapat menyerang tubuh badan seseorang melainkan apabila ia cuai memelihara peraturan kesihatannya, maka syaitan juga tidak dapat menyerapkan bisikan hasutannya ke dalam jiwa manusia melainkan pada masa manusia lalai, tidak mengendahkan ajaran dan peringatan Allah S.w.t.

Hakikat ini dijelaskan di dalam ayat 36, surah Zukhruf dan ayat 19, surah Al Mujadalah. Yang di antara maksud- maksudnya menyatakan bahawa di  antara undang- undang kejadian Allah ialah memberi peluang kepada syaitan untuk menjadi teman rapat kepada sesiapa yang lalai yang yang tidak mengendahkan ajaran dan peringatan Allah serta syaitan pula dapat menguasai jiwa orang itu.

Kalau orang yang tersebut berpanjangan dengan keadaan yang demikian tidak segera kembali ke jalan yang benar, jadilah ia dari puak sekutu syaitan, dan sesiapa yang termasuk dalam puak syaitan, maka dialah "Syaitan Manusia" yang tersebut pada ayat 112 Surah Al-An'am dan yang disuruh meminta berlindung dari angkaranya.

Hal ini disebutkan di dalam hadis yang berikut:

Dari Abu Dzar R.a, katanya: Rasulullah S.a.w memerintahkan daku dengan bersabda:" hendaklah engkau memohon perlindungan Allah dari angkara syaitan- syaitan manusia dan Jin." Aku pun meminta penjelasan Baginda S.a.w dengan berkata:"Ya Rasulullah! Adakah manusia juga menjadi syaitan- syaitan?" Baginda menjawab:"ia! Benar!".
(Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Mardawiah dan Al Baihaqi) 

JENAYAH MURTAD

Dari Ibnu Abas R.a, katanya: Bahawa Rasulullah S.a.w bersabda:" Sesiapa yang menukar Agama Islamnya maka hendaklah kamu membunuhnya."
(Hadis Riwayat Jemaah kecuali Muslim)

Dan dari Abu Musa Al- Asyari R.a, bahawa Nabi S.a.w. memerintahnya dengan bersabda:" Pergilah engkau ke negeri Yaman", kemudian Baginda S.a.w menghantarkan Muaz Bin Jabal selepas pemergiannya. Apabila Muaz sampai ke tempat Abu Musa, Abu Musa menyambutnya dengan memberikan sebiji bantal alas duduk serta berkata:" sila duduk", dan berhampiran di situ ada seorang yang terikat. Muaz bertanya:" Apa orang ini?". Abu Musa menjawab:" Orang ini seorang Yahudi, ia masuk Islam kemudian ia berbalik menjadi Yahudi", Muaz berkata:" Aku tidak akan duduk sehingga ia di bunuh, itulah hukuman Allah dan Rasul-Nya."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dan pada riwayat Abu Daud, mengenai kisah ini:" Maka dibawa kepada Abu Musa seorang yang telah murtad iaitu meninggalkan Agama Islam, lalu disuruhnya (bertaubat dengan memeluk Islam semula) selama kira- kira 20 malam, kemudian datang Muaz serta menyuruhnya juga bertaubat, tetapi orang itu enggan lalu dipenggal lehernya." 

Hadis- hadis yang tersebut menerangkan bahawa:

(1) Sesiapa yang menjadi murtad wajib dibunuh oleh pihak yang berkuasa selepas ia disuruh bertaubat kembali kepada Islam dan ia enggan berbuat demikian.

(2) Hukuman bunuh yang tersebut hendaklah dikenakan kepada tiap- tiap orang murtad samada lelaki atau perempuan.

Apabila seseorang Islam menjadi murtad samada ia terpesong disebabkan iktikadnya, atau tutur katanya ataupun perbuatannya, maka bermakna ia telah melakukan jenayah bukan sahaja kepada dirinya sendiri tetapi juga kepada keluarganya dan masyarakatnya serta umat islam umumnya.

Di antara jenayah- jenayah itu ialah:

(1) Ia memandang dirinya betul dan pandai dengan bersikap murtad dan umat Islam semuanya salah dan bodoh belaka. Ini bermakna ia menghina dan musuhi masyarakatnya.

(2) Ia menyalahkan ajaran Islam kerana didorong oleh hawa nafsu, tidak mahu terikat kepada suruhan Allah dan larangan-Nya. Ini bermakna ia ingkarkan perintah Allah dan Rasul-Nya setelah ia mengakui benarnya semasa ia beragama Islam dan ini juga bermakna menghina Agama Islam yang menjadi pegangan hidup dan dihormati oleh umat Islam seluruhnya.

(3) Ia menjadi contoh yang buruk bagi orang- orang lain yang akan terpengaruh dengan fahaman dakyahnya dan dengan itu akan runtuhlah ajaran- ajaran Islam, kebudayaannya dan nilai- nilai akhlaknya yang suci murni yang telah dibina dan dikembangkan silih berganti oleh pengembang- pengembang Islam semenjak zaman Nabi Muhammad S.a.w hingga hari ini dan yang diharap akan berlanjutan seterusnya.

Jika demikian keadaan jenayah orang yang murtad itu maka hukuman Islam yang telah ditetapkan untuk menghukumnya di dunia dan balasan azab siksa yang dijanjikan baginya di akhirat kelak amatlah adil dan padan dengan jenayahnya yang besar itu.

Dengan ini jelaslah murtad itu tidak boleh dipandang sebagai soal perseorangan sahaja tetapi soal umat Islam seluruhnya yang wajib dicegah dan dihapuskan oleh pihak yang berkuasa yang bertanggungjawab menjalankannya.

Wallahu a'lam.

AL-QURAN PANDUAN SEMPURNA

Dari Mu'tal Bin Yasar R.a, dari Nabi S.a.w, sabdanya:" Berimanlah kamu kepada kitab Taurat, dan kitab Injil, dan kitab Zabur, dan hendaklah kitab Al- Quran pula menjadi panduan yang cukup meliputi cara hidup kamu."
(Hadis Riwayat Ibnu Abi Hatim)

Sebagaimana yang sedia diketahui bahawa tujuan Rasul- Rasul itu diutus oleh Allah S.w.t ialah untuk menyampaikan ajaran- ajaran, hukum- hukum, cara dan peraturan hidup kepada umat manusia untuk mencapai keselamatan di dunia dan kebahagiaan yang kekal di akhirat.

Ajaran- ajaran dan hukum- hukum yang telah diwahyukan oleh Allah S.w.t kepada Rasul- Rasul-Nya itu melalui malaikat Jibrail A.s, ada yang telah terhimpun dalam kitab- kitb suci, ada yang terhimpun di dalam lembaran- lembaran surah (sahaf), dan ada pula yang tidak diterangkan perihalnya.

Kitab-kitab suci yang diterangkan namanya di dalam Al-Quran dan hadis ialah kitab Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa, kitab Injil yang diturunkan kepada Nabi Isa, kitab Zabur yang diturunkan kepada Nabi Daud dan Kitab Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.a.w.

Manakala yang disebut dengan nama "Sahaf" (risalah- risalah atau lembaran- lembaran surat) ialah yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa A.s.

"Kitab- kitab suci" dan "Sahaf" yang tersebut diwajibkan beriman kepadanya secara "Tafsil" (satu persatu) dan yang lain diwajibkan beriman kepadanya secara "ijmali" (umum).

Kitab suci Al- Quran Al- Karim yang diturunkan oleh Allah S.w.t  kepada Nabi Muhammad S.a.w iaitu Nabi dan Rasul yang akhir sekali ialah kitab suci yang akhir sekali yang memansuhkan kitab- kitab suci yang terdahulu daripadanya.

Al-Quran Al-Karim diturunkan oleh Allah S.w.t  kepada Baginda S.a.w dalam masa umat manusia terutama kaum Yahudi dan Nasrani berada dalam persengketaan dan perselisihan dalam berbagai- bagai masalah termasuk masalah ketuhanan dan kerasulan. Masing- masing pihak membenarkan pihaknya dan menyalahkan yang lain.

Al-Quran Al-Karim antara lain mempunyai dua tugas yang besar, iaitu:

(1) Mengakui kebenaran yang terkandung dalam kitab- kitab suci yang terdahulu daripadanya, mengenai beribadat kepada Allah semata- mata, beriman kepada Rasul- Rasul-Nya, menjalankan kebenaran dan keadilan, berakhlak dengan sifat- sifat yang mulia dan mengakui benar adanya balasan pada hari akhirat.

(2) Mengawasi kitab- kitab yang tersebut serta mendedahkan perubahan, pindaan, dan tokok tambah yang terdapat dalam kitab- kitab itu yang dilakukan oleh kaum Yahudi dan Nasrani.

Sebagaimana yang ditegaskan Allah S.w.t di dalam Al- Quran:" dan kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) kitab Al-Quran dengan membawa kebenaran untuk mengesahkan benarnya kitab- kitab suci yang terdahulu daripadanya dan untuk memelihara serta mengawasinya..." (Surah Al-Maidah, ayat 48)

Dan Allah juga menegaskan bahawa:" di antara orang- orang Yahudi ada yang mengubah (atau menukar ganti) kalam Allah (isi kitab Taurat), dari tempat dan maksudnya yang sebenar.." (Surah Al-Nisa', ayat 46)

Jelasnya, sesiapa yang hendak mencari kebenaran dan hendak mencapai pengajaran- pengajaran Ilahi yang benar, tidak akan dapat di mana- mana pun selain daripada yang terhimpun di dalam Al-Quran Al-Karim, kerana Al-Quranlah kitab suci yang terpelihara keasliannya dan terselamat pengajarannya daripada sebarang perubahan, pindaan dan tokok tambah serta telah disambut dan diterima oleh umat Islam dari Nabi Muhammad S.a.w, yang menerima dari malaikat Jibrail A.s yang membawa turunnya dari Allah S.w.t.

Wallahu a'lam.

NABI UTUSAN ALLAH

Dari Abu Hurairah R.a, katanya: Rasulullah S.a.w bersabda: " Demi Tuhan Yang diri Muhammad dalam kekuasaan-Nya! Tidak ada seorang pun dari umat manusia ini, samada Yahudi atau Nasrani yang mendengar akan perihalku (menjadi utusan Allah), kemudian ia mati sedang ia tidak  beriman dengan (Agama Islam) yang aku diutuskan membawanya, melainkan menjadilah ia dari ahli neraka".
(Hadis Riwayat Muslim)

Hadis ini menerangkan tentang wajib beriman kepada Nabi Muhammad S.a.w dan Agama Islam yang dibawanya.

Huraiannya:

Sesiapa jua yang berada dalam zaman Nabi Muhammad S.a.w atau yang datang kemudian hingga ke hari kiamat diwajibkan beriman kepada Baginda S.a.w dan kepada Agama Islam yang dibawanya apabila berita kerasulan baginda S.a.w sampai kepada- Nya. Jika tidak maka orang itu dihukumkan kafir dan akan memerima azab siksa neraka disebabkan kekufurannya itu.

Hukum ini meliputi seluruh umat manusia termasuk kaum Yahudi dan Nasrani yang mempunyai kitab Taurat dan Injil.

Orang- orang Yahudi dan Nasrani tidak harus berdalih untuk tidak menerima Agama Islam yang dibawa oleh Baginda S.a.w dengan sebab mereka ada mempunyai kitab- kitab, kerana kitab- kitab mereka kalaulah tidak di sebabkan mereka meminda, mengurangi dan menokok tambahnya, sudah pun mansuh setelah habis masa kegunaannya dengan kedatangan Rasul yang akhir sekali iaitu Nabi Muhammad S.a.w dan kitab suci Al- Quran yang dibawanya.

Wallahu a'lam.

AKIBAT MENSYIRIKKAN ALLAH

Dari Abdullah Bin Mas'ud R.a, katanya: Rasulullah S.a.w bersabda:" Sesiapa mati dalam keadaan ia melakukan sebarang syirik terhadap Allah, masuklah ia ke dalam neraka."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menerangkan akibat buruk yang akan menimpa orang yang melakukan syirik.

Huraiannya:

Syirik ialah mempersekutukan sesuatu dengan Allah S.w.t pada sifat 'uluhiah'-Nya dan 'rububiah'-Nya.

Sifat 'uluhiah' Allah S.w.t ialah sifatnya berhak disembah, dicintai, dipatuhi perintah-Nya, ditumpui dan dipohonkan untuk mendapat segala kebaikan dan menolak sebarang mala petaka dan perkara- perkara yang tidak diingini.

Sifat 'rububiah'-Nya pula ialah sifat mentadbir dan menguruskan cara menjaga dan memelihara, mengasuh dan mendidik sekalian alam yang telah diciptakan-Nya iaitu dengan mengadakan segala keperluan yang di hajati oleh wujud tiap- tiap satunya, mengatur dan menyusun undang- undang dan peraturan bagi kesuburan, perkembangan dan kesempurnaan masing- masing serta menyatakan dan menunjukkan hukum- hukum halal haram dan sah batal untuk kebaikan jasmani dan kebahagiaan rohani manusia.

Maka sesiapa yang menganggap bahawa mana- mana satu dari sifat- sifat itu ada pada sesuatu yang lain daripada Allah S.w.t nescaya ia telah melakukan syirik dengan Allah, walaupun ia pada masa itu masih beriman kepada Allah. Tentang ini Allah S.w.t berfirman dalam surah Yusuf, ayat 106, maksudnya:" Meskipun kebanyakan mereka beriman kepada Allah, dalam pada itu mereka tidak sunyi dari perbuatan syirik".

Dengan itu nyatalah, amat buruknya seseorang mendewa- dewakan sebarang makhluk dengan mengasihinya dan menurut perintahnya sebagaimana ia mencintai dan mentaati Allah atau meminta dan mengharapkan hasil sesuatu hajat dari sesuatu makhluk atau dengan seauatu cara, kecuali setelah diketahui bahawa makhluk atau cara yang tersebut diharuskan oleh Allah S.w.t bagi seseorang menggunakannya sebagai jalan, sebab atau alat untuk menjayakan maksudnya.

Demikian juga amatlah salahnya menerima sebarang undang- undang dan peraturan atau hukum hakam yang diadakan oleh yang lain daripada Allah S.w.t kecuali sekadar yang berdasarkan aturan, kenyataan atau pengajaran yang dibawa oleh Rasulullah S.a.w.

Kesimpulan hadis ini, mengingatkan manusia daripada terjerumus ke dalam sebarang iktikad atau perbuatan syirik supaya terselamat daripada balasan buruk yang dijanjikan.

Wallahu a'lam.

JANGAN FIKIRKAN ZAT ALLAH

Dari Ibnu Abbas R.a, dari Nabi S.a.w, sabdanya:" Fikirkanlah mengenai segala apa jua (yang diciptakan Allah), tetapi janganlah kamu memikirkan zat Allah.."
(Hadis Riwayat Abu Syeikh)

Di dalam hadis lain juga menyebutkan:

Dari Abu Dzar R.a, dari Nabi S.a.w, sabdanya:" Fikirkanlah mengenai segala makhluk Allah dan janganlah kamu memikirkan tentang Zat Allah kerana yang demikian menyebabkan kamu binasa (dalam kesesatan)."
(Hadis Riwayat Abu Syeikh)

Dari Ibnu Umar R.a, dari Nabi S.a.w, sabdanya:" Fikirkanlah mengenai segala nikmat Allah dan pemberian-Nya dan janganlah kamu memikirkan tentang Zat Allah."
(Hadis Riwayat Abu Syeikh dan Al Tabrani) 

Cara mengenal sesuatu sudah tentu dengan jalan mengenal sifat- sifatnya. Maka demikianlah pula cara mengenal Allah S.w.t yang wajib al wujud, tak dapat tidak dengan jalan mengenal sifat- sifat-Nya. Tetapi sifat- sifat Allah yang Maha Tinggi dan Maha Kuasa itu tidak dapat dicapai dengan pancaindera, hanya dapat diyakini dari kesan sifat- sifatnya yang ternyata pada kejadian- kejadian alam yang diciptakan-Nya.

Meskipun manusia dilengkapkan dengan akal untuk memikir dan menimbang apa yang diperhati dan ditelitinya dari kejadian- kejadian alam yang tercipta dengan indah dan teratur, bahkan manusia disuruh berbuat demikian untuk kebaikan dan keselamatan dirinya di dunia dan akhirat, tetapi akal manusia itu adalah terbatas setakat perkara- perkara dan benda- benda yang ada dalam alam nyata ini yang dapat dicapai oleh pancaindera dan alat- alatnya sahaja. Maka dengan keadaan demikian, sudah tentu ia tidak dapat memikirkan sama sekali tentang zat Allah S.w.t yang bukannya dari jenis- jenis benda dan tidak ada sesuatu pun yang menyamai-Nya.

Oleh sebab itulah junjungan kita Nabi Muhammad S.a.w yang diutus oleh Allah S.w.t untuk memimpin umat manusia ke jalan yang benar, telah menerangkan tentang cara menggunakan fikiran untuk "Mengenal Allah" dalam beberapa hadis yang diriwayatkan oleh tiga orang sahabat Baginda S.a.w iaitu Ibnu 'Abas, Abu Dzar dan Ibnu Umar R.a.

Hadis- hadis itu meskipun berlainan sedikit di antara satu dengan yang lain tentang lafaznya, tetapi sama sahaja maksudnya iaitu menyuruh kepada tiap- tiap orang memikirkan segala kejadian dalam alam yang telah diciptakan oleh Allah S.w.t dan pelbagai jenis nikmat yang telah dikurniakan-Nya. Serentak dengan itu Baginda S.a.w melarang keras daripada memikirkan tentang 'Zat Allah' kerana yang demikian bukan sahaja tidak dicapai oleh akal fikiran bahkan akan menjerumuskan orang yang melakukannya dalam kesesatan.

Zat Allah S.w.t adalah Zat yang Maha Tinggi, tidak dapat diketahui hakikatnya oleh akal yang memang terhad kawasannya dan terbatas kemampuannya. Oleh itu, hal ini tidak menjadi masalah dan tidak patut dijadikan satu perkara yang dimusykilkan. Soal kita tidak mengetahui hakikat sesuatu, tidak menjadi hal, asalkan kita dapat mengetahui sifat- sifat-Nya dan faedah- faedah yang didapati daripada-Nya sesuai dengan keperluan kita.

Contohnya:

Tenaga elektrik dan besi berani yang kita sentiasa menggunakannya dan mengambil faedah daripadanya, tidak diketahui hakikatnya dan ahli sains sendiri tidak juga mengetahuinya dan tidak pernah menjelaskan hakikatnya kepada kita.

Maka itu, bagaimana seseorang hendak mengetahui hakikat Zat Allah yang Maha Tinggi dan yang tidak ada sesuatu pun yang menyamainya? Sedangkan banyak di antara benda- benda yang diciptakannya iaitu yang ada di sekeliling kita tidak juga diketahui hakikatnya oleh akal kita.

Sekiranya seseorang itu cuba juga memikirkan tentang hakikat Zat Allah yang tidak ada taranya itu, sudah tentu fikirannya memberi satu gambaran yang tidak benar dan tidak tepat dengan hakikatnya yang sebenar dan ini adalah buruk padahnya sebagaimana yang diterangkan oleh Rasulullah S.a.w dalam hadis- hadis yang tersebut kerana orang itu telah menggunakan akalnya pada bukan tempatnya.

Wallahu a'lam.

TENTANG AHLI SYURGA

Dari Haritsah bin Wahab, Rasulullah S.A.W bersabda:" Mahukah aku beritahukan tentang ahli syurga?" Mereka menjawab,"Mahu, Ya Rasulullah." Rasulullah S.a.w bersabda," iaitu semua orang yang merendahkan diri kepada Allah dan apabila bersumpah dengan nama Allah, mereka selalu menepati.."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Semakin lemah seseorang maka semakin sering orang menghinanya. Walau bagaimanapun, sebahagian penghuni syurga adalah orang yang lemah iaitu orang yang kurang diperhatikan oleh orang lain. Justeru, Allah S.w.t memandang mereka sebagai orang yang besar kerana mereka tunduk dan merendahkan diri kepada-Nya. Mereka selalu menunaikan kewajipan dan beribadah kepada-Nya.

LAYANAN KUBUR

Dari Abu Sai'd R.a, katanya: (Pada suatu hari) Rasulullah S.a.w masuk ke tempat sembahyangnya, lalu dilihatnya beberapa orang sedang gelak ketawa, Baginda S.a.w pun menegur mereka dengan bersabda: " Ketahuilah! Sesungguhnya kalau kamu banyak menyebut dan mengingat perkara yang memusnah dan menghilangkan perasaan kesenangan tentulah peringatan mengenainya akan menghalang kamu daripada melakukan apa yang aku lihat ini, maka hendaklah kamu selalu mengingati dan menyebut perkara yang memusnah dan menghilangkan perasaan kesenangan, iaitu lah 'maut' kerana sesungguhnya pada tiap- tiap hari kubur menyeru, katanya: ' akulah rumah dagang, akulah rumah yang sunyi sepi, akulah rumah yang penuh dengan tanah, akulah rumah yang penuh dengan ulat'. Maka apabila hamba Allah yang mukmin dikebumikan, berkatalah kubur kepadanya: 'dipersilakan dengan segala hormatnya! Ketahuilah sebenarnya adalah engkau kepadaku sekasih- kasih orang yang berjalan di atasku, oleh itu apabila engkau sampai kepadaku dan disertakan urusanmu kepadaku pada hari ini, maka engkau akan melihat layananku kepadamu', kubur itu pun menjadi lapang baginya seluas mata memandang, serta dibukakan baginya sebuah pintu ke syurga, (lalu datang kepadanya sebahagian dari bau syurga dan udaranya, serta ia dapat mencium dari baunya yang semerbak harum dan merasa senang hati dari segala yang dilihatnya dalam syurga itu).
Dan sebaliknya apabila orang yang berdosa atau orang kafir dikebumikan, berkatalah kubur kepadanya: ' tidak layak engkau disambut dan dipersilakan, ketahuilah sebenarnya engkau kepadaku adalah sebenci- benci orang yang berjalan atasku, oleh itu apabila engkau sampai kepadaku dan diserahkan urusanmu kepadaku pada hari ini, maka engkau akan melihat apa yang aku buat kepadamu'."
Nabi S.a.w bersabda lagi: " kubur itu pun mengapitnya sehingga berselisih tulang- tulang rusuknya." Kata perawi hadis ini: Nabi S.a.w (sambil bersabda menerangkan yang demikian, lalu Baginda S.a.w) memasukkan jari- jari sebelah tangannya dicelah jari- jari yang sebelah lagi, kemudian Baginda S.a.w bersabda lagi: "dan dilepaskan kepada orang itu tujuh puluh ekor ular besar yang kalaulah seekor di antaranya menghembuskan nafasnya di bumi, nescaya tidak akan tumbuh sesuatupun dari tumbuh- tumbuhan atau tanaman selagi dunia ini masih wujud. Kemudian ular- ular itu akan mematuk- matuknya dan meluka- lukakannya sehingga ia dibawa untuk dihisab (dan menerima balasan)". Kata perawi hadis ini: Nabi S.a.w bersabda lagi: " bahawa sesungguhnya kubur itu adalah sebuah taman dari taman- taman syurga atau sebuah gaung dari gaung- gaung neraka."

(Hadis Riwayat Tarmizi dan Baihaqi)

KEISTIMEWAAN NABI S.A.W

Dari Jabir Bin Abdullah R.a, katanya: Rasulullah S.a.w bersabda: " Aku dikurniakan beberapa keistimewaan yang tidak pernah diberikan perkara- perkara itu kepada seseorang pun dari Nabi- nabi yang terdahulu daripadaku, dan biasanya seseorang Nabi itu diutuskan kepada kaumnya sahaja, sedang aku diutuskan kepada umat manusia seluruhnya."

Dan pada satu riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah (Baginda S.a.w bersabda): "..sedang aku diutuskan kepada sekalian makhluk".

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis di atas ini mengandungi:

(1) Nabi Muhammad S.a.w dikurniakan beberapa keistimewaan.

(2) Baginda S.a.w diutus kepada sekalian makhluk.

Huraiannya:

(1) Keistimewaan Nabi Muhammad S.a.w.
Junjungan kita Nabi Muhammad S.a.w sebagaimana yang sedia maklum ialah Rasul yang akhir sekali. Tidak ada Nabi apalagi Rasul sesudahnya. Sesuai dengan keadaan yang demikian, maka Baginda S.a.w dikurniakan oleh Allah S.w.t beberapa keistimewaan yang tidak pernah diberikan kepada Rasul- Rasul sebelumnya.

Agama Allah yang dibawa oleh sekalian Rasul yang diutus silih berganti adalah satu tentang  perkara- perkara pokoknya iaitu beriman kepada Allah yang Maha Esa dan beriman kepada sekalian Rasul-Nya. Tetapi hukum syariatnya yang meliputi cabang- cabang dan rantingnya adalah berlainan sedikit antara satu dengan yang lain, sesuai dengan keadaan zaman masing- masing.

Apa yang kita dapati sekarang tentang keadaan yang berlainan antara satu agama dengan agama yang lain pada masalah pokoknya, maka itu bukanlah dari ajaran Rasul- Rasul tetapi di sebabkan penyelewengan penganut- penganut agama itu mengubah asas dan dasarnya dengan tujuan- tujuan yang tertentu.

(2) Nabi Muhammad S.a.w diutus kepada sekalian makhluk.
Di antara keistimewaan- keistimewaan yang telah dikurniakan oleh Allah S.w.t kepada Rasul-Nya yang akhir sekali iaitu Nabi Muhammad S.a.w, ialah Baginda S.a.w diutus kepada sekalian makhluk, meliputi manusia dan jin, juga malaikat, dari mula Baginda S.a.w diutus hingga ke akhir dunia ini.

Adapun Rasul- Rasul yang sebelumnya maka mereka diutus hanya kepada kaum masing- masing. Syariat mereka berjalan kuat kuasanya dalam kalangan kaum mereka semasa hayat mereka, setelah mereka wafat maka syariat mereka dilanjutkan oleh Nabi- Nabi yang dibangkitkan dalam kalangan kaumnya untuk memimpin kaum itu. Demikianlah seterusnya hingga Allah S.w.t  mengutuskan seorang Rasul yang lain dengan membawa syariat yang baru, yang boleh jadi berlainan sedikit dengan syariat Rasul yang telah lalu.

Demikianlah halnya antara satu Rasul dengan yang lain hinggalah kepada Rasul yang akhir sekali iaitu Nabi Muhammad S.a.w.

Setelah Baginda Rasulullah S.a.w wafat, maka syariatnya dilanjutkan dan disebarkan oleh alim Ulama Islam yang menjadi waris yang mempusakai ilmu- ilmu yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad S.a.w.

Wallahu a'lam.

 

TITIAN SIRATUL MUSTAQIM

Dari Abu Hurairah R.a, dari Nabi S.a.w bahawa Baginda bersabda: "...dan diletakkan titian neraka jahanam", Baginda S.a.w bersabda lagi:" Maka aku serta umatku lah yang mula- mula melaluinya, sedang rasul- rasul pada hari itu masing- masing berdoa dengan berkata: 'Ya Tuhanku! Selamatkanlah! Selamatkanlah!' dan pada titian itu ada beberapa pengait yang Allah S.w.t jua mengetahui besarnya, pengait- pengait itu dengan cepatnya mengait manusia dengan sebab amal- amal jahat mereka, di antaranya ada orang yang binsa di sebabkan amalnya, dan ada pula orang yang dihalang- halang dan diputus- putuskan perjalanannya, akhirnya ia terselamat juga..."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Apabila penimbangan amal selesai, maka manusia diperintahkan dan dibawa pergi ke kampung tempat balasan yang diuntukkan bagi masing- masing mendiaminya melalui satu titian (Sirat) yang biasa disebut dengan nama 'Titian Siratul Mustaqim', titian yang diletakkan untuk menyeberangi lautan api neraka, titian yang di kiri dan kanannya terdapat banyak pengait- pengait untuk mengait kaki sesiapa yang berhak di kait. Orang- orang yang terkait kakinya itu ada dua golongan:

(1) Golongan yang gugur jatuh ke dalam lautan api itu ialah orang- orang yang pada masa hidupnya di dunia telah terkait, terpengaruh dan terpedaya dengan hasutan syaitan atau galakan nafsu liarnya sehingga jatuhnya ke dalam lubuk kejahatan dan kederhakaan sampai matinya dengan tidak sempat bertaubat.

(2) Golongan yang rebah bangun, rebah bangun dan akhirnya selamat sampai ke seberang, iaitu orang- orang yang pada masa hayatnya di dunia kerapkali dikait, dipengaruhi dan diperdaya oleh hasutan syaitan atau nafsu amarahnya melakukan maksiat, tetapi pada tiap- tiap kali mereka jatuh ke dalam satu- satu kesalahan, mereka segera ingatkan azab siksaan Tuhan, lalu mereka menyesal dan bertaubat sampai mati dengan keadaan taatkan Allah.

Pendeknya orang- orang yang melalui titian itu terbahagi kepada tiga golongan:

Pertama- Golongan yang selamat sentosa menyeberangi lautan api neraka.
Kedua- Golongan yang diputus- putuskan perjalanannya oleh pengait- pengait titian itu, tetapi dapat jua menyeberangi lautan api itu.
Ketiga- Golongan yang terkait kakinya lalu jatuh terus ke dalam api neraka.

Dengan keterangan yang tersebut, terpulanglah kepada seseorang memilih golongan manakah yang ia sukai menjadi ahlinya. Orang yang berfikiran sihat sudah tentu berusaha bersungguh- sungguh supaya Tuhan memberi taufik menjadi ahli golongan yang pertama.

Wallahu a'lam.  

TAHAP KEPANASAN API NERAKA

Dari Abu Hurairah R.a, dari Nabi S.a.w, sabdanya: " Kepanasan api yang digunakan oleh anak Adam di dunia ini hanyalah satu per tujuh puluh kepanasan api neraka jahanam." Sahabat- sahabat Baginda berkata: " Demi Allah! Sesungguhnya sekadar itu pun cukuplah untuk menyiksa." Baginda S.a.w bersabda: " Meskipun demikian, kepanasan neraka jahanam ditambah melebihi kepanasan api dunia sebanyak enam puluh sembilan bahagian yang tiap- tiap satunya seperti kepanasan api dunia ini."(Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Tarmizi)
 

MALAIKAT MENULIS AMAL (2)

Dari Abu Umamah R.a, dari Nabi S.a.w, sabdanya: " Malaikat yang di sebelah kanan (yang menjadi penulis kebaikan) ialah ketua kepada yang di sebelah kiri, maka apabila seseorang melakukan sesuatu kebaikan, dituliskan baginya kebaikan itu menjadi sama dengan sepuluh kebaikan yang tersebut, dan apabila ia melakukan sesuatu kejahatan, lalu malaikat yang di sebelah kiri hendak menulisnya, bekatalah malaikat yang du sebelah kanan: ' Tunggu dahulu'. Lalu ia menulis selama atau tujuh jam, kemudian jika orang itu berisighfar dari perbuatan jahat orang itu, tiaklah ditulis sesuatu pun, dan jika dia tidak meminta ampun kepada Allah S.w.t, dituliskan baginya satu kejahatan sahaja."
(Hadis Riwayat Tabrani dan Ibnu Mardawiah)

Dalam hadis ini diterangkan benerapa perkara mengenai kedua malaikat itu:

1) Satu berada di sebelah kanan dan yang satu lagi berada di sebelah kiri setiap orang manusia.

2) Yang di sebelah kanan ialah yang menulis amal kebaikan dan menjadi ketua kepada yang di sebelah kiri, yang menulis amal jahat.

3) Tiap- tiap satu kebajikan ditulis dengan sepuluh kebajikan dan tiap- tiap satu kejahatan ditulis dengan satu kejahatan sahaja.

4) Amal jahat tidak ditulis melainkan setelah diberi tempoh enam atau tujuh jam dengan arahan malaikat dari sebelah kanan.

5) Sekiranya malaikat yang melakukan kejahatan itu beristighfar memohon ampun dari Allah S.w.t dalam tempoh yang tersebut, maka kejahatan itu tidak ditulis.

Wallahu a'lam.


 

MALAIKAT MENULIS AMAL (1)

Dari Anas R.a, dari Nabi S.a.w, sabdanya: " Sesungguhnya Allah S.w.t telah menugaskan dua malaikat untuk menulis segala apa yang dilakukan atau dituturkan oleh seseorang hamba-Nya (satu di sebelah kanannya dan yang satu lagi di sebelah kirinya), kemudian apabila orang itu mati, maka Tuhan perintahkan kedua malaikat itu dengan firman-Nya: ' Hendaklah kamu berdua tinggal tetap di kubur hamba-Ku itu serta hendaklah kamu mengucap tasbih, tahmid dan takbir hingga ke hari kiamat dan hendaklah kamu menulis pahalanya untuk hamba-Ku itu.' " 
(Hadis Riwayat Abu Al-Syeikh dan Tabrani)

Dan pada satu riwayat ada disebutkan bahawa kedua malaikat itu melaknat si mati hingga ke hari kiamat jika ia seorang kafir.

Allah S.w.t Maha Mengetahui akan segala yang lahir dan yang tersembunyi, tetapi bagi melahirkan kebesaran kerajaan-Nya dan keadilan pemerintahan-Nya maka segala apa jua yang dilakukan oleh setiap manusia samada baik atau yang buruk diperintahkan menulisnya dalam surat amalnya oleh dua malaikat yang ditugaskan khas mengenainya, supaya dapat dibaca dan dilihat oleh orang itu sendiri pada hari akhirat kelak.

Kedua- dua malaikat yang tersebut sebagaimana yang diterangkan didalam hadis ini tidak bercerai dari orang itu walau sesudah ia meninggal dunia. Mereka diperintahkan tinggal tetap di kuburnya bertasbih, bertahmid dan bertakbir hingga ke hari kiamat dan pahala zikir mereka yang tersebut ditulis oleh mereka dalam surat amal orang itu.

Sebaliknya jika ia kafir, maka mereka melaknatnya hingga ke hari kiamat.

SERUAN DI BULAN RAMADHAN

Dari Abu Hurairah R.a, dari Nabi S.a.w, sabdanya:" Apabila bermula malam yang pertama dari bulan Ramadhan..menyerulah malaikat, katanya:" Wahai orang yang mencari dan berkehendakkan kebaikan, tampillah mengerjakannya dan wahai orang yang merasa mahukan kejahatan, berhentilah dari meneruskannya dan ketahuilah Allah S.w.t banyak membebaskan orang- orang yang dijanjikan dengan neraka daripada memasukinya', seruan dan keampunan yang demikian ada pada tiap- tiap malam ( dalam bulan Ramadhan)."
(Hadis Riwayat Tarmizi dan An Nasa'ie)

Bulan Ramadhan ialah bulan yang mulia dan diberkati Allah, tiap- tiap amal kebajikan yang dikerjakan padanya digandakan pahalanya. Dalam hadis ini Rasulullah S.a.w menyatakan, apabila tiba bulan ramadhan, malaikat menyeru manusia menggunakan peluang yang baik itu dengan mengerjakan amal- amal kebajikan lebih dari biasa, dan sebaliknya mana- mana yang hendak melakukan kejahatan janganlah mereka terdorong melakukannya. Malaikat juga menerangkan dalam seruannya itu tentang kemurahan Allah S.w.t membebaskan orang- orang yang berdosa yang dijanjikan dengan azab siksa. Semoga peluang yang baik dalam bulan yang mulia itu digunakan dengan sepenuhnya.
Wallahu a'lam.

MALAIKAT MENCATIT KEDATANGAN

Dari Abu Hurairah R.a, dari Nabi S.a.w, sabdanya:" Apabila tiba hari jumaat, ada pada tiap- tiap pintu masjid, malaikat yang ditugaskan menulis orang yang datang sembahyang jumaat seorang demi seorang, kemudian apabila imam duduk di atas mimbar, malaikat- malaikat itu melipat lembaran- lembaran surat yang ditulisnya serta mereka datang mendengar khutbah."  
(Hadis Riwayat Bukhari, An Nasa'ie dan Ibnu Majah)

Kehadiran lebih awal untuk mengerjakan sembahyang jumaat sangat- sangat diutamakan dalam Islam. Dalam hadis ini Rasulullah S.a.w menyatakan bahawa kedatangan sidang jemaah ke tempat sembahyang jumaat juga ada penulis- penulisnya dari malaikat. Mereka menulis tentang kedatangan tiap- tiap seorang menurut tertib atau susunannya, mulai dari masa adanya orang yang mula- mula tiba hingga ke masa imam naik mimbar untuk membaca khutbah. Pada ketika itu malaikat berhenti menulis lalu melipat surat catatan mereka dan datang mendengar imam membaca khutbah. Dengan itu dapat difaham bahawa orang yang datang setelah imam naik mimbar tidak tercatit di antara orang- orang yang mendapat fadhilat susunan susunan kehadiran walaupun ia mendapat fadhilat sembahyang jumaat. Maka amatlah baiknya bagi tiap- tiap seorang, datang lebih awal ke tempat sembahyang jumaat sebelum imam naik mimbar. Wallahua'lam..

PERHENTIAN PERTAMA

Dari uthman Bin Affan R.a, bahawa Rasulullah S.a.w bersabda:" Sesungguhnya kubur ialah tempat perhentian yang pertama dari tempat- tempat perhentian alam akhirat, oleh itu jika seseorang terselamat dari huru hara azabnya, maka huru hara di tempat- tempat yang lain lebih ringan lagi kepadanya, dan jika ia tidak terselamat dari yang tersebut, maka huru hara di tempat- tempat yang lain lebih berat lagi." (Hadis Riwayat Tarmizi dan Ibnu Majah),

MALAIKAT MEMERHATI AMALAN

Dari Abu Hurairah r.a, dari Nabi S.a.w, sabdanya:" Malaikat turun naik dalam kalangan kamu silih berganti, malam dan siang, kedua- dua puak itu berhimpun pada waktu sembahyang Subuh dan pada waktu sembahyang Asar. Setelah itu puak yang bermalam dalam kalangan kamu naik, lalu ditanya oleh Allah S.w.t(sedang Dia Mengetahui hal mereka):' Bagaimana keadaan hamba- hamba Ku semasa kamu tinggalkan?'. Malaikat menjawab:'Kami tinggalkan mereka sedang mereka mengerjakan sembahyang dan kami datang kepada mereka sedang mereka mengerjakan sembahyang'". (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan An Nasa'ie)

Dalam hadis ini, Rasulullah S.a.w menyatakan bahawa bagi tiap- tiap seorang ada malaikat yang ditugaskan memerhati amal- amalnya. Amal yang dikerjakan pada siang hari ada malaikat yang memerhatinya, demikian pula amal- amal yang dikerjakan pada malam hari. Kedua- dua puak malaikat itu turun naik silih berganti, dan mereka akan bertemu di antara satu dengan yang lain pada waktu sembahyang Subuh dan pada waktu sembahyang Asar, maka berbahagialah orang- orang yang mengerjakan dua sembahyang itu pada awal waktunya, kerana dapat disaksikan bersama oleh malaikat malam dan malaikat siang yang tersebut.

Wallahu a'lam.

ORANG YANG MUFLIS

Dari Abu Hurairah R.a, bahawa Nabi S.a.w bersabda:" Tahukah kamu siapakah dia orang muflis?" Sahabat-sahabat baginda menjawab:" orang-orang muflis di antara kami, ya Rasulullah! ialah orang yang tidak ada wang ringgit dan tidak ada harta benda," Nabi S.a.w bersabda:" Sebenarnya orang muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat membawa sembahyang, puasa dan zakat, sedang datangnya itu dengan kesalahan memaki hamun orang ini dan menuduh orang itu, memakan harta benda orang ini, menumpah darah orang itu dan juga memukul orang, maka akan diambil dari amal kebajikannya serta diberi kepada orang itu, kemudian kiranya habis amal kebajikannya sebelum habis dibayar kesalahan-kesalahan yang ditanggungnya, akan diambil pula dari kesalahan-kesalahan orang yang dianiayakannya serta ditimpakan keatasnya, kemudian ia dihumbankan ke dalam neraka." (Hadis Riwayat Muslim dan Tarmizi)

UMAT YANG DISEKAT

Dari Aisyah R.a, katanya:' Aku ada mendengar Rasulullah S.a.w bersabda semasa baginda berada di antara sahabat- sahabatnya':" Sesungguhnya aku akan berada di kolamku, menunggu sesiapa di antara kamu datang hendak minum dari kolamku itu,apabila datangnya orang-orang itu,maka demi Allah! Sesungguhnya ada orang-orang yang disekat-sekat dari sampainya kepadaku, lalu aku merayu dengan berkata:' Ya Tuhanku! Mereka dari orang-orangku dan dari umatku!, maka Tuhan berfirman:' sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak mengetahui apa yang mereka lakukan sesudah engkau wafat, mereka sentiasa berbalik kepada pegangan dan amal perbuatan mereka yang buruk," dan pada satu riwayat:" maka aku pun berkata' Jauhlah, jauhlah dari rahmat Allah, sesiapa yang mengubah ajaran-ajaranku sesudah aku menerangkan'." (Hadis Riwayat Muslim)

MUKMIN KUAT DAN LEMAH

Dari Abu Hurairah R.a,katanya:" Orang mukmin yang kuat lebih baik kepada Allah dan lebih dikasihi-Nya daripada orang mukmin yang lemah, sedang tiap- tiap seorang ada kebaikannya (imannya), oleh itu hendaklah engkau bersungguh-sungguh berusaha memperolehi apa yang memberi manfaat kepadamu serta hendaklah meminta pertolongan kepada Allah dan janganlah engkau bersikap segan dan malas, dan jika sekiranya engkau ditimpa sesuatu maka janganlah engkau berkata:' kalau aku lakukan anu anu, tentulah akan terjadi anu anu', tetapi katalah:' Allah telah takdirkan dan apa yang dikehendaki oleh kebijaksanaan-Nya ia lakukan', kerana perkataan "kalau" itu membuka jalan kepada hasutan syaitan."  
(Hadis Riwayat Muslim)

Hadis ini menerangkan bahawa:

(1) Orang- orang mukmin masing- masing ada kebaikannya iaitu imannya, tetapi sesetengahnya ada yang kuat semangat keagamaannya, tinggi hemahnya, luas dan jauh pandangannya, tabah dan cekal hatinya serta kuat berusaha untuk kebaikan agamanya, dirinya, umatnya dan tanah airnya, manakala setengah yang lain adalah sebaliknya. Orang- orang mukmin yang bersifat dengan sifat- sifat yang terpuji itu lebih baik dan lebih dikasihi oleh Allah.

(2) Tiap- tiap seorang mukmin hendaklah bersungguh- sungguh berusaha memperolehi perkara- perkara yang mendatangkan manfaat sambil meminta pertolongan kepada Allah S.w.t supaya dengan ehsannya memberi taufik dan menjayakannya, kerana manusia walau bagaimana bijak dan kuat, tetap berhajat kepada pertolongan dan pimpinan Tuhan.

(3) Tiap- tiap seorang mukmin tidaklah patut bersikap segan dan malas bekerja dan hanya berangan- angan bahawa Tuhan akan menyampaikan maksudnya dengan alasan: Tuhan Amat Berkuasa, pada hal Tuhan telah tentukan bahawa sesuatu yang boleh diusahakan oleh manusia tidak akan berhasil melainkan setelah diusahakan sebab atau jalan untuk mencapainya.

(4) Setelah seseorang itu bersungguh- sungguh mencari jalan untuk mencapai maksudnya serta berusaha dengan sedaya upayanya menurut jalan yang diketahuinya, tiba- tiba perkara yang diusahakannya itu tidak juga berhasil, maka pada saat yang demikian, tidak ada jalan baginya untuk menghadapi qada' Takdir yang berlaku itu. Melainkan menghadapinya dengan perasaan tenang, tenteram serta berkata sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah S.a.w dalam hadis yang tersebut yang maksudnya:
" Perkara ini telah ditakdirkan Tuhan dan apa yang telah ditentukan oleh kehendak kebijaksanaan-Nya tetap berlaku," sambil ia berusaha lagi mencari jalan untuk menjayakan maksudnya.

(5) Perkataan "kalau" jangan disebut oleh seseorang yang telah gagal daripada mencapai maksudnya atau mengalami kerugian, kerana perkataan "kalau" sebagaimana yang diterangkan oleh Rasulullah S.a.w akan membuka jalan kepada hasutan syaitan (akan menjadikan orang itu resah gelisah, duka nestapa dan tidak redha kepada qada' Takdir  Tuhan yang Maha Bijaksana)

Kesimpulannya:
Menurut keterangan Al- Quran Al- Karim bahawa Allah S.w.t telah mencipta manusia dan melengkapkannya dengan segala persediaan yang menjadikannya dapat memilih kebaikan dan melakukannya, juga dapat memilih kejahatan dan melakukannya seperti yang tersebut di dalam (Surah Al Insan-ayat 2~3, surah Al-Balad-ayat 10 dan surah Al-Syams-ayat 7~10)

Jelasnya, manusia mempunyai persediaan untuk menjadikan dirinya mencapai kebahagiaan dengan amal- amalnya yang soleh juga menjadikan dirinya terjerumus ke lembah kecelakaan dengan amal- amal yang jahat.

Wallahu a'lam.

URUSAN DUNIA

Dari Abu sa'id al khudri R.a, bahawa Nabi S.a.w bersabda:" Sesungguhnya dunia ini manis dan indah, dan sesungguhnya Allah menjadikan kamu wakil menguruskan apa yang ada padanya, maka dengan itu Dia sentiasa memerhatikan bagaimana cara kamu menjalankan urusan itu, oleh itu hendaklah kamu menjaga diri dari keburukan yang disebabkan oleh dunia, dan khasnya oleh kaum perempuan, kerana sesungguhnya fitnah yang mula-mula menimpa kaum Bani Israel adalah berpunca dari orang-orang perempuan." (Hadis Riwayat Muslim)

AURAT DI HARI KIAMAT

Dari Aisyah R.a, bahawa Nabi S.a.w bersabda:"Dihimpunkan manusia di padang mashyar pada hari kiamat dengan keadaan berkaki ayam, bertelanjang dan berkulup." Aisyah bertanya: Ya Rasulullah! Adakah orang- orang perempuan dan lelaki semuanya melihat satu sama lain?" Nabi S.a.w menjawab:" Wahai Aisyah! kedahsyatan keadaan pada masa itu menghalang masing-masing daripada melihat satu sama lain". (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim) Dan pada satu Riwayat oleh An Nasa'ie dan al hakim dari Aisyah R.a, katanya: Aku bertanya:" Ya Rasulullah! Bagaimana pula keadaan aurat?" Nabi S.a.w menjawab:" Tiap-tiap seseorang pada masa itu cukup sibuk dengan hal menjaga keselamatan dirinya sahaja."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah S.a.w menerangkan bahawa manusia akan pergi ke padang mahsyar dengan keadaan sebagaimana Tuhan jadikan mereka keluar dari perut ibu dahulu (tidak berpakaian, tidak berkasut dan tidak berkhatan). Mendengarkan keterangan itu, Saidatina Aisyah bertanya: 'bagaimana hal aurat masing- masing ya Rasulullah! Adakah orang lelaki dan perempuan memandang antara satu sama lain?' Rasulullah S.a.w menjawab: 'wahai Aisyah! Kedahsyatan huru hara kiamat menghalang manusia daripada memandang satu sama lain, usahkan hendak memerhatikan aurat, tiap- tiap seorang pada masa itu cukup sibuk dengan hal menjaga keselamatan dirinya sahaja.' Rasulullah S.a.w menerangkan lagi: 'bahawa orang yang mula- mula sekali diberi memakai pakaian di antara makhluk- makhluk yang ramai itu ialah Nabi Ibrahim A.s.'

Wallahua'lam.

SIKSA TIGA JENIS MANUSIA

Dari Abu Hurairah R.a, katanya: Rasulullah S.a.w bersabda:" Akan keluar satu batang leher dari neraka pada hari kiamat, dengan dua mata yang melihat, dan dua telinga yang mendengar serta lidah yang bercakap lalu ia berkata:' Aku diberi kuasa menyiksa tiap-tiap seorang dari tiga jenis manusia iaitu tiap-tiap orang yang bengis dan keras hati, lagi degil tidak menerima kebenaran yang diketahuinya,tiap-tiap orang yang mempersekutukan sesuatu yang lain dengan Allah dan orang- orang yang membuat gembar.'"
(Hadis Riwayat Tarmizi)

TIGA PERKARA KE KUBUR

Dari Anas Bin Malik R.a, bahawa Rasulullah S.a.w bersabda:" Tiga perkara akan menurut orang yang mati ke kuburnya, kemudian dua daripadanya akan balik dan tinggal satu bersama- samanya, ia akan diturut oleh keluarganya, hartanya dan amalnya, kemudian keluarganya dan hartanya akan balik, dan tinggallah amalnya bersama- sama dengannya."
(Hadis Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Tarmizi dan Nasa'ie)

DOA MALAIKAT

Dari Abu Hurairah R.a,dari Nabi S.a.w, sabdanya:" Malaikat sentiasa berdoa untuk seseorang kamu selama ia berada di tempat yang ia sembahyang padanya, selagi ia tidak berhadas, iaitu mereka memohon dengan berkata:' Ya Tuhan kami! ampunilah dosanya, ya Tuhan kami! berilah rahmat kepadanya.'"
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sembahyang sebagaimana yang sedia diketahui adalah suatu ibadah yang mempunyai kelebihan- kelebihannya yang tidak terhitung, maka tempat sembahyang juga mempunyai nilainya yang tinggi. Seseorang yang menahan dirinya duduk di tempat sembahyang sesudah ia mengerjakan sembahyang dengan keadaan suci dari hadas dan suci dari sebab- sebab yang mendatangkan dosa, maka ia sentiasa didoakan oleh malaikat yang bertugas untuk itu: 'semoga Allah mengampuni dosanya dan memberi rahmat kepadanya'. Hadis ini membayangkan bahawa orang- orang yang beribadat ada di antaranya yang mengerjakan ibadatnya dengan sempurna dan ada pula yang kurang sempurna, maka golongan yang pertama layak menerima rahmat Tuhan, dan golongan yang kedua pula berhajatkan keampunan Allah. Wallahua'lam.

UCAPAN 'AAMIIN'


Dari Abu Hurairah R.a, dari Nbai S.a.w, sabdanya: "Apabila imam mengucap: Amin, maka hendaklah kamu mengucapnya bersama, kerana sesiapa yang ucapan Aminnya serentak dengan ucapan Amin malaikat, nescaya diampunkan dosanya yang telah lalu." (Jemaah)

Dalam hadis lain juga menyebut:

Dari Abu Hurairah R.a, Dari Nabi S.a.w, sabdanya:" Apabila seseorang kamu mengucap 'Aamiin' dan malaikat di langit pun mengucapnya serta berbetulan pula masa ucapan itu satu sama lain, nescaya diampunkan dosanya yang telah lalu."
(Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan An Nasa'ie)

Perkataan 'Aamiin' itu maksudnya memohon ke hadrat Allah S.w.t semoga segala permohonan yang terkandung dalam surah Al Fatehah itu dikabulkan-Nya. Dengan sebab tujuannya yang besar itu, maka bacaan 'Aamiin' dibaca juga oleh malaikat di langit dan dengan yang demikian menjadilah saat bacaan 'Aamiin' suatu saat yang mulia, saat terbuka pintu keampunan Allah S.w.t kepada hamba- hamba-Nya yang tertentu. Oleh itu amatlah baiknya bagi makmum mengucap 'Aamiin' serentak dengan 'Aamiin' imamnya, demikian juga bila ia seorang diri membaca Al Fatehah, supaya terkena dengan saat bacaan 'Aamiin' dari malaikat dan dengan itu termasuklah ia dari orang- orang yang beroleh keampunan Allah. PERINGATAN: Kalimah 'Aamiin' tidak patut dipanjangkan alif hamzahnya lebih daripada dua harkat kerana menurut bahasa Arab kalimah 'Aamiin' yang bermakna" perkenankanlah permohonkanlah ya Tuhanku", tidak pernah dipanjangkan lebih daripada dua harkat (alif hamzahnya). Juga kalimah itu janganlah dilafazkan dengan berlebihan nyaringnya kerana perbuatan yang demikian adalah berlawanan dengan maksud yang terkandung pada ayat 110, Surah Al Isra'.

Wallahua'lam.

SYIRIK YANG MEMBINASAKAN

Dari Abu Hurairah R.a, bahawa Rasulullah S.a.w bersabda: " Jauhkan dan singkirkanlah perkara- perkara yang membinasakan." Sahabat- sahabat Baginda bertanya: " Apakah dia perkara- perkara itu ya Rasulullah?". Baginda S.aw menjawab: " (salah satu yang terbesar di antaranya) ialah melakukan syirik terhadap Allah.."
(Hadis Riwayat Muslim)

Terdapat juga hadis lain:

Dari Mahmud Bin Labid R.a, katanya Rasulullah S.a.w bersabda:" sesungguhnya perkara yang sangat- sangat aku takuti akibat buruknya menimpa kamu ialah syirik yang kecil." Sahabat- sahabat baginda bertanya:" Apa dia syirik yang kecil itu ya Rasulullah?". Baginda menjawab:"(syirik yang kecil itu) ialah riak. Allah S.w.t akan berfirman pada hari kiamat apabila manusia datang dengan amal masing- masing:' Pergilah kepada mereka yang kamu melakukan riak di dunia dahulu ( untuk menunjuk-nunjuk kepada mereka), kemudian lihatlah, adakah kamu dapati sebarang balasan di sisi mereka?'" (Hadis Riwayat Imam Ahmad),

Hadis di atas memerintahkan supaya kita menjauhkan syirik dalam segala bentuknya.

Setelah kita mengetahui setakat mana buruknya akibat syirik, maka dengan ini kita diperintahkan supaya menjauhkan danmenyingkirkan segala jenis syirik terhadap Allah, samada yang nyata atau yang tersembunyi.

Syirik yang besar atau yang nyata itu ialah mempercayai adanya sesuatu yang setara dan sebanding dengan Allah S.w.t, yang ditujukan kepadanya doa permohonan, yang diuntukkan kepadanya satu- satu cara ibadat, dan yang ditakuti bala bencananya.

Dengan adanya syirik yang demikian, maka akidah tauhid orang yang melakukannya telah berbelah bahagi dan orang musyrik inilah yang dijanjikan Allah dengn neraka.

Syirik yang kecil atau yang tersembunyi itu pula ialah kepercayaan, perkataan atau perbuatan yang menyebabkan berlakunya syirik terhadap kekuasaan atau undang- undang peraturan Allah. Syirik yang tersembunyi itu amat banyak di antaranya:

(1) mempercayai sesuatu yang menjadi sebab itu dengan keadaan hakikatnya memberi kesan baik atau buruk.

(2) menaruh perasaan takut dan gerun kepada kekuatan sesuatu yang lain dari Allah.

(3) menumpukan harapan kepada sesuatu yang lain dari Allah.

(4) bersumpah dengan sebarang sebutan yang lain daripada menyebut nama atau sifat Allah.

(5) mengatakan 'kalaulah' tidak kerana pertolongan Allah dan pertolongan si anu, tentulah aku tidak berjaya.

(6) mengatakan 'kalaulah' tidak kerana ayam berkokok, polis meronda atau sebagainya tentulah rumahku dimasuki pencuri.

(7) melakukan sesuatu ibadat atau daya usaha pengorbanan atau perjuangan bukan kerana menjunjung perintah Allah semata- mata, tetapi juga untuk tujuan- tujuan yang lain.

Wallahua'lam.

MANUSIA DI SAAT KIAMAT

Dari Huzaifah R.a, dari Nabi S.a.w, sabdanya:" Tidak akan berlaku saat kiamat sehingga orang yang tidak tentu saka bakanya iaitu yang buruk akhlaknya, dan yang bodoh bebal, menjadi sebahagia-bahagia manusia dengan kesenangan dunia."
( Hadis Riwayat Tarmizi dan Imam Ahmad)

SEPERTI ORANG DAGANG

Dari Abdullah Bin Umar R.a, Rasulullah S.a.w memegang bahuku lalu bersabda:" Jadikanlah dirimu di dunia ini seolah-olah engkau orang dagang bahkan seolah-olah orang yang dalam perjalanan musafir". Dan semenjak itu ibnu Umar selalu berkata:" Apabila engkau berada pada waktu petang maka janganlah engkau tunggu datangnya waktu pagi, dan apabila engkau berada pada waktu pagi maka janganlah engkau tunggu datangnya waktu petang, dan ambillah peluang dari kesihatanmu itu membuat amal untuk masa sakitmu, dan peluang masa hidupmu berbekal untuk matimu."
(Hadis Riwayat Bukhari)

ORANG YANG DINAUNGI ARASY

Dari Abd Qatadah R.A, dari Nabi S.A.W bahawa baginda bersabda:" Sesiapa yg meringankan tanggungan hutang daripada orang yg berhutang kepadanya atau menghapuskan hutangnya itu, nescaya dia berada di bawah naungan Arasy pada hari kiamat."
(Hadis Riwayat Muslim dan Imam Ahmad)

TIGA GOLONGAN KE MAHSYAR

Dari Abu Hurairah R.A, katanya Rasulullah S.A.W bersabda:" Manusia yang dihimpunkan ke padang Mashar pada hari kiamat adalah 3 golongan, pertama golongan yang berjalan kaki, yang ke dua golongan yang berkenderaan, dan yang ke tiga golongn yang berjalan dengan mukanya." Sahabat bertanya."ya Rasulullah! Bagaimana mereka dapat berjalan dengan mukanya? Baginda S.A.W menjawab."sesungguhnya Tuhan yang telah menjadikan mereka boleh berjalan dengan kaki, berkuasa menjadikan mereka berjalan dengan muka mereka."
(Hadis Riwayat Tarmizi)

Firman Allah S.w.t pada ayat 86 surah Maryam, ayat 102 surah Toha dan ayat 97 surah Al Isra' yang maksudnya menyatakan bahawa orang- orang yang pergi ke padang Mahsyar ada Tiga bahagian:

Pertama: Orang- orang yang pergi dengan berkenderaan, iaitu orang- orang yang bertaqwa.

Kedua: Orang- orang yang berjalan kaki dan keadaan muka mereka biru keruh, kerana hati masing- masing sebak dengan kedukaan, iaitu orang- orang yang mati dalam keadaan berdosa.

Ketiga: Orang- orang yang berjalan dengan mukanya sambil matanya tidak dapat melihat sesuatu yang menyukakannya, lidahnya tidak dapat menuturkan hujah- hujah atau alasan yang boleh diterima daripadanya dan telinganya tidak dapat mendengar perkara- perkara yang menyenangkan hatinya iaitu orang- orang yang pada masa hidup di dunia tidak berusaha menggunakan matanya, lidahnya dan telinganya untuk mencapai kebahagiaan akhirat.

Wallahua'lam.

QADAR TAKDIR (1)

Dari Abdullah Bin 'Amru Bin Al-'As R.a, katanya:'aku ada mendengar Rasulullah S.a.w, bersabda: "Allah telah memerintahkan supaya ditulis segala qadar takdir sekalian makhluk sebelum ia menjadikan langit dan bumi dengan satu tempoh masa yang amat lanjut..."
(Hadis Riwayat Muslim dan Tarmizi)

Dengan hadis ini Rasulullah S.a.w menerangkan bahawa qadar takdir bagi segala kejadian telah disediakan oleh Allah S.w.t dan setelah ia menjadikan qalam, ia memerintahkan qalam supaya menulis, lalu qalam bertanya, sebagaimana yang tersebut pada hadis Ibadat Bin Al-Samat R.a, yang diriwayatkan oleh Al- Tarmizi:" apakah perkara yang Tuhan perintahkan aku menulisnya?" Tuhan berfirman:" Tulislah qadar takdir yang ditetapkan bagi segala yang telah ada dan yang telah berlaku, dan juga segala yang akan ada serta yang akan berlaku seterusnya."

Wallahu a'lam.

HATI ORANG TUA

Dari Abu Hurairah R.A, Bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:" Hati orang tua sentiasa muda dalam dua keadaan: iaitu dalam keadaan kasihkan dunia dan dalam keadaan panjang cita- cita."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis ini, Rasulullah S.a.w menyatakan bahawa ada lagi dua perkara yang merugikan manusia kalau tidak dijaga dan diawasinya iaitu kasihkan dunia dan panjang cita- cita.

Dua perkara ini menjadikan seseorang yang telah tua, lali daripada menyediakan bekalan untuk hari akhiratnya, pada hal yang sewajibnya makin ia beransur tua, makin ia membanyakkan amal baktinya kerana ia tidak mungkin lagi kembali kepada kekuatan dan kecergasannya yang telah lalu.

Wallahu a'lam.

AZAB SECARA MERATA

Nabi S.A.W bersabda:"bila perbuatan- perbuatan maksiat di tengah umatku telah nyata, maka Allah akan menimpakan azab-Nya kepada mereka secara merata."
(Hadis Riwayat Imam Ahmad)

Kehadiran kita di dunia ini tak ubahnya seperti mengharungi bahtera yang sedang belayar. Maka, supaya perjalanan aman dan tidak tenggelam oleh kesalahan, kita semua diharuskan untuk saling menjaga satu sama lainnya. Kalau ada seseorang yang membocorkan kapal dengan maksud apa jua pun kita harus serta merta mencegahnya. Kalau tidak, kapal kita akan tenggelam. Menenggelamkan semuanya.Termasuk mereka yang hanya melihat saja atau sama sekali tidak mengetahui kalau kapal tersebut telah dibocorkan.

Wallahu a'lam.

MENGAJAR PERKARA BAIK

Dari Abu Umamah R.A, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:" Sesungguhnya Allah sentiasa memberi rahmat dan Malaikatnya serta penduduk langit dan bumi, sehinggakan semut dalam lubangnya dan ikan di laut sentiasa berdoa untuk sesiapa yang mengajarkan perkara- perkara yang baik kepada orang ramai."
(Hadis Riwayat Tarmizi)