MUKMIN KUAT DAN LEMAH

Dari Abu Hurairah R.a,katanya:" Orang mukmin yang kuat lebih baik kepada Allah dan lebih dikasihi-Nya daripada orang mukmin yang lemah, sedang tiap- tiap seorang ada kebaikannya (imannya), oleh itu hendaklah engkau bersungguh-sungguh berusaha memperolehi apa yang memberi manfaat kepadamu serta hendaklah meminta pertolongan kepada Allah dan janganlah engkau bersikap segan dan malas, dan jika sekiranya engkau ditimpa sesuatu maka janganlah engkau berkata:' kalau aku lakukan anu anu, tentulah akan terjadi anu anu', tetapi katalah:' Allah telah takdirkan dan apa yang dikehendaki oleh kebijaksanaan-Nya ia lakukan', kerana perkataan "kalau" itu membuka jalan kepada hasutan syaitan."  
(Hadis Riwayat Muslim)

Hadis ini menerangkan bahawa:

(1) Orang- orang mukmin masing- masing ada kebaikannya iaitu imannya, tetapi sesetengahnya ada yang kuat semangat keagamaannya, tinggi hemahnya, luas dan jauh pandangannya, tabah dan cekal hatinya serta kuat berusaha untuk kebaikan agamanya, dirinya, umatnya dan tanah airnya, manakala setengah yang lain adalah sebaliknya. Orang- orang mukmin yang bersifat dengan sifat- sifat yang terpuji itu lebih baik dan lebih dikasihi oleh Allah.

(2) Tiap- tiap seorang mukmin hendaklah bersungguh- sungguh berusaha memperolehi perkara- perkara yang mendatangkan manfaat sambil meminta pertolongan kepada Allah S.w.t supaya dengan ehsannya memberi taufik dan menjayakannya, kerana manusia walau bagaimana bijak dan kuat, tetap berhajat kepada pertolongan dan pimpinan Tuhan.

(3) Tiap- tiap seorang mukmin tidaklah patut bersikap segan dan malas bekerja dan hanya berangan- angan bahawa Tuhan akan menyampaikan maksudnya dengan alasan: Tuhan Amat Berkuasa, pada hal Tuhan telah tentukan bahawa sesuatu yang boleh diusahakan oleh manusia tidak akan berhasil melainkan setelah diusahakan sebab atau jalan untuk mencapainya.

(4) Setelah seseorang itu bersungguh- sungguh mencari jalan untuk mencapai maksudnya serta berusaha dengan sedaya upayanya menurut jalan yang diketahuinya, tiba- tiba perkara yang diusahakannya itu tidak juga berhasil, maka pada saat yang demikian, tidak ada jalan baginya untuk menghadapi qada' Takdir yang berlaku itu. Melainkan menghadapinya dengan perasaan tenang, tenteram serta berkata sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah S.a.w dalam hadis yang tersebut yang maksudnya:
" Perkara ini telah ditakdirkan Tuhan dan apa yang telah ditentukan oleh kehendak kebijaksanaan-Nya tetap berlaku," sambil ia berusaha lagi mencari jalan untuk menjayakan maksudnya.

(5) Perkataan "kalau" jangan disebut oleh seseorang yang telah gagal daripada mencapai maksudnya atau mengalami kerugian, kerana perkataan "kalau" sebagaimana yang diterangkan oleh Rasulullah S.a.w akan membuka jalan kepada hasutan syaitan (akan menjadikan orang itu resah gelisah, duka nestapa dan tidak redha kepada qada' Takdir  Tuhan yang Maha Bijaksana)

Kesimpulannya:
Menurut keterangan Al- Quran Al- Karim bahawa Allah S.w.t telah mencipta manusia dan melengkapkannya dengan segala persediaan yang menjadikannya dapat memilih kebaikan dan melakukannya, juga dapat memilih kejahatan dan melakukannya seperti yang tersebut di dalam (Surah Al Insan-ayat 2~3, surah Al-Balad-ayat 10 dan surah Al-Syams-ayat 7~10)

Jelasnya, manusia mempunyai persediaan untuk menjadikan dirinya mencapai kebahagiaan dengan amal- amalnya yang soleh juga menjadikan dirinya terjerumus ke lembah kecelakaan dengan amal- amal yang jahat.

Wallahu a'lam.