PAHALA SEPERTI SOLAT 50 WAKTU

Dari Anas R.a, katanya: Nabi Muhammad S.a.w bersabda:" (Selain dari apa yang aku saksikan semasa aku dibawa Israk dan Mikraj pada malam itu), maka Allah 'Azzawajalla fardhukan (atasku dan) atas umatku lima puluh sembahyang....lalu aku memohon kepada-Nya (supaya dikurangkan lagi bilangan sembahyang itu yang telah pun dikurangkan-Nya sehingga tinggal lima sahaja); maka Allah S.w.t berfirman:' Sembahyang fardhu (sehari semalam) itu tetap lima (dari segi bilangannya), dan ia juga tetap lima puluh (dari segi pahalanya); keputusanku itu tidak dapat diubah atau ditukar ganti....'"
(Hadis Riwayat Bukhari)

AMAL ORANG YANG HIDUP PADA YANG TELAH MATI

Dari Anas R.a, katanya bahawa Rasulullah S.a.w bersabda: "Sesungguhnya amal- amal kamu dibentangkan kepada keluarga dan kaum kerabat kamu yang telah mati; maka kalau amal perbuatan kamu itu baik, mereka gembira mengetahuinya, dan kalau sebaliknya, mereka (berdoa untuk kamu dengan) berkata: 'Ya Allah ya Tuhan kami, berilah kaum kerabat kami yang hidup itu hidayah petunjuk, sebagaimana engkau telah memberi hidayah petunjuk kepada kami (sehingga kami mati dalam iman)'."
(Hadis Riwayat Al-Imam Ahmad dan Tirmizi)

Hadis ini disokong oleh sebuah hadis lagi- riwayat At-Tabrani dari Abu Ayub Al-Ansari R.a, menerangkan dua perkara:

Pertama: Apabila seseorang mukmin kembali ke rahmatullah, ia disambut dengan gembiranya oleh orang- orang mukmin yang telah mati lebih dahulu daripadanya, lalu mereka bertanya kepadanya khabar berita orang- orang yang masih hidup yang mereka kenal di dunia dahulu.

Kedua: Menerangkan seperti yang tersebut dalam hadis yang pertama, bahawa amal orang- orang yang hidup (dari satu kesatu masa) dibentang kepada keluarga dan kaum kerabat mereka yang telah mati (untuk diketahui baik dan buruknya).

Jika amal itu baik, maka orang- orang mati itu (rohnya) bergembira sambil berdoa bagi orang yang hidup yang beramal baik itu, dengan berkata:
Maksudnya: "Ya Allah ya Tihan kami, (amal baik yang dikerjakan oleh kerabatku) ini ialah limpah kurnia dan rahmat  dari-Mu, maka sempurnakanlah nikmatmu itu kepadanya (supaya kekal sentiasa), dan matikanlah dari dalam nikmat (iman dan amal soleh) itu."

Kalau pula amal itu buruk, maka mereka (bersedih) sambil berdoa baginya dengan berkata:
Maksudnya: "Ya Allah ya Tuhan kami, berilah ilham kepadanya untuk mengerjakan amal yang soleh yang dengan sebabnya Engkau akan meredhainya dan mendampingkannya di sisi-Mu."

Kedua- dua hadis itu disokong oleh sebuah hadis lagi, riwayat ini Jarir dari Abu Hurairah R.a, yang juga menerangkan dua perkara:

Pertama: Bahawa amal orang- orang yang hidup, dari satu ke satu masa, dibentangkan kepada kaum kerabat mereka yang telah mati. Jika amal mereka baik, maka (roh) orang yang mati itu bergembira, dan jika buruk maka (rohnya) bersukacita.

Kedua: Orang- orang yang mati (dalam keadaan beriman dan beramal soleh) akan dimasukkan dalam kumpulan orang- orang mati yang beroleh rahmat.

Mereka menyambut dengan gembira orang yang baru mati, yang ditempatkan di dalam kumpulan mereka dan bertanyakan kepadanya khabar berita kenalan mereka yang masih hidup.

Bahkan ada yang bertanya kepadanya (kalaulah ia sekampung dengannya di dunia dahulu): adakah isterinya (isteri orang yang bertanya) telah berkahwin lain atau tidak?.




 

LEBIH LAYAK MENJADI IMAM

Dari Abu Sa'id Al-Khudri R.a, katanya: Rasulullah S.a.w bersabda:" Apabila bilangan mereka: tiga orang (misalnya), hendaklah salah seorang dari mereka menjadi imam, dan orang yang berhak di antara mereka menjadi imam ialah yang lebih pandai mbaca Al- Quran."
(Hadis Riwayat Muslim)

DIPIJAK DAN DILANYAK BINATANG



Dari Abu Dzar R.a, dari Nabi S.a.w bahawa Baginda bersabda sesudah Baginda bersumpah: " Tidak ada seseorang yang memiliki unta, lembu atau kambing, yang ia tidak menyempurnakan haknya melainkan dibawa binatang itu pada hari kiamat dalam keadaan sebesar- besar dan segemuk- gemuknya, memijak dan melanyak- lanyaknya dengan tapak kakinya dan menanduknya dengan tanduknya, setiap kali selesai kumpulan binatang- binatang itu berbuat demikian diulanginya pula perbuatan yang tersebut, sehingga diselesaikan perbicaraan di antara manusia."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

SAKSI KEBAIKAN SI MATI


Dari Umar Bin Al- Khatab R.a, bahawa Nabi Muhammad Sa.w: " Mana- mana orang Islam (yang mati, lelaki atau perempuan) yang diakui kebaikannya oleh empat orang (dari kalangan masyarakatnya), nescaya Allah akan memasukkannya ke dalam Syurga.."
(Hadis Sahih- Riwayat Bukhari dan lain- lainnya)

Hadis ini ada sambungan dihujungnya iaitu: mendengarkan sabda yang tersebut, salah seorang dari sahabat- sahabat baginda bertanya:
"Bagaimana pula kalau orang- orang (yang menjadi saksi mengakui kebaikan si mati) itu hanya tiga orang?"

Baginda menjawab: " Tiga orang pun mencukupi (untuk diterima pengakuannya)."

Sahabat Baginda bertanya lagi: "Kalau mereka dua orang sahaja, bagaiman pula?"

Baginda menjawab: "Dua orang juga mencukupi."

Sahabat Nabi yang bertanya itu ialah Saidina Umar R.a.

 

DOSA MEMATAHKAN TULANG


Dari 'Aisyah R.a, bahawa Rasulullah S.a.w bersabda: "(Dosa) mematahkan tulang orang yang mati, sama seperti (dosa) mematahkannya semasa ia hidup".
(Riwayat Imam Ahmad dan lain- lainnya)

Dari hadis ini dapat difaham: bahawa orang yang telah mati samalah keadaannya seperti orang yang hidup, iaitu dituntut menjaga kehormatannya dan dilarang melakukan terhadapnya sebarang perkara yang menghina dan menyakitinya.


 

ROH TERGANTUNG DIAWANG- AWANGAN


Dari Abu Hurairah R.a, katanya: Rasulullah S.a.w bersabda: " Roh (orang mati) yang beriman tergantung (diawang- awang) dengan sebab hutangnya, sehinggalah hutangnya dibayar (oleh warisnya atau orang lain)."
(Hadis Hasan- Riwayat Tirmizi)

Menurut Al-Imam As-Sayuti Rahimahullah, maksud rohnya "tergantung" yakni tertahan dari sampai ke tempatnya yang mulia.

Menurut Al-Imam Al-'Araqi Rahimahullah pula: maksud rohnya "tergantung" yakni tertahan daripada ditentukan hukumnya adakah si mati itu termasuk orang- orang yang selamat atau sebaliknya, sehinggalah diketahui sudahkah dibayar hutangnya atau tidak.

Hadis ini mengingatkan warisnya supaya segera membayarkan hutangnya jika ia ada meninggalkan harta. 

SATU BAHAGIAN PAHALA YANG BESAR


Dari Abu Hurairah R.a, katanya Rasulullah S.a.w bersabda: " Sesiapa yang hadir melawat jenazah sehingga ia dapat menyembahyangkannya, maka baginya satu bahagian pahala yang besar (sebesar gunung), dan sesiapa yang hadir melawatnya sehingga jenazah itu dikebumikan, maka baginya dua bahagian pahala yang besar (tiap- tiap satunya sebesar gunung)..."
(Hadis Sahih- Riwayat Bukhari dan Muslim)

 

BACAAN SEMBAHYANG PENDEK- PENDEK


Dari Abu Hurairah R.a, bahawa Rasulullah S.a.w bersabda: " Apabila salah seorang dari kamu menjadi imam sembahyang, maka hendaklah ia mengamalkan bacaan sembahyang yang pendek- pendek, kerana dalam sidang jemaah itu: ada orang yang lemah dan orang sakit serta orang tua; sebaliknya apabila salah seorang dari kamu sembahyang seorang diri, maka bolehlah ia memanjangkan (bacaan sembahyangnya) menurut yang dikehendakinya."
(Hadis Sahih- Riwayat Bukhari)

Dalam hadis ini Rasulullah S.a.w menarik perhatian orang yang menjadi imam supaya menimbangkan keadaan sidang jemaah yang menjadi makmumnya kerana ada di antaranya orang yang lemah, yang sakit dan yang tua; juga terdapat di antaranya, orang yang mempunyai hajat yang hendak dilakukan dengan segera, atau perempuan yang mengandung atau yang menyusukan anak- sebagaiman yang tersebut di dalam beberapa hadis yang lain. Oleh itu janganlah imam memanjangkan bacaan sembahyangnya sehingga menyusahkan makmumnya.¹

Dalam pada itu, sembahyang hendaklah dikerjakan dengan sempurna meliputi rukun- rukun dan sunatnya. Tetapi dalam perkara yang sunat, imam dikehendaki memilih bacaan yang pendek.

Contohnya:
Bacaan surah selepas membaca surah Al-Fatehah, hendaklah dipilih surah yang pendek.


¹. Sebaliknya jika sidang jemaah di situ terhad bilangannya dan mereka bersetuju supaya imam memanjangkan bacaannya (meliputi surah- surah Al- Quran dan doa- doa dalam sembahyang) maka bolehlah ia berbuat demikian.
 

PERKARA YANG DILARANG

Dari Abu Hurairah R.a, katanya: Rasulullah S.a.w bersabda:"Janganlah kamu berhasad dengki antara satu dengan yang lain, dan janganlah kamu (sebagai pembeli) pura- pura menawarkan harga yang tinggi dengan tujuan memperdaya orang lain supaya membeli dengan harga yang lebih tinggi, dan janganlah kamu benci membenci atau bermusuhan, dan janganlah kamu putuskan hubungan mesra dan pulau memulau sesama sendiri, dan janganlah kamu (sebagai penjual) memotong jalan penjual yang lain, (janganlah kamu melakukan perkara- perkara yang keji itu) tetapi hendaklah kamu menjadi hamba- hamba Allah yang bersaudara; (ingatlah!) orang Islam adalah saudara orang Islam yang lain, janganlah seseorang muslim menganiayakan saudaranya itu, dan janganlah ia mengecewakannya semasa orang itu memerlukan pertolongan, dan juga janganlah ia memandang rendah kepadanya apalagi menghinakannya, (sebenarnya) taqwa bertempat di sini", (baginda menegaskan yang demikian) semasa menunjuk kepada dadanya tiga kali; (kemudian menegaskan lagi):" Cukuplah (nyatanya) seseorang itu melakukan sesuatu perkara yang jahat apabila ia memandang rendah atau menghinakan saudaranya yang sesama Islam; "(Kesimpulannya): keseluruhan hak seseorang muslim adalah haram atas seseorang muslim yang lain (bertindak terhadapnya menurut cara yang tidak dibenarkan oleh syarak), iaitu: darahnya(keselamatan nyawa dan tubuh badannya), harta bendanya, dan kehormatannya".
(Hadis Sahih- Riwayat Muslim)

LARANGAN BEJANA EMAS DAN PERAK

Dari Huzaifah Bin Al Yamani R.a, katanya: Rasulullah S.a.w bersabda:" Janganlah kamu minum dari bejana emas dan perak, dan janganlah kamu makan dalam pinggan- pingga hidangan (yang diperbuat) dari emas dan perak, kerana ia digunakan oleh mereka (golongan hartawan kaum kafir yang sombong takbur) di dunia, dan akan di untukkan kepada kamu menggunakannya di akhirat kelak (sebagai balasan ketaatan kamu)".
(Hadis Sahih- Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis yang lain ditegaskan lagi larangan itu seperti berikut:

Dari Ummi Salamah R.a, katanya: Rasulullah S.a.w:" Orang yang minum dari bejana perak* sebenarnya ia (pada hari akhirat akan) menyedut api neraka dalam perutnya."
(Hadis Sahih- Riwayat Bukhari dan Muslim)

* Dalam hadis ini diterangkan tentang bejana perak sahaja, tetapi dalam sebuah hadis (muslim) ditegaskan:"Orang yang minum dari bejana emas dan perak..."
(Sahih Muslim)

Hadis- hadis ini menjadi dalil tentang haramnya menggunakan bejana dari emas dan perak untuk dijadikan tempat makan dan minum. Larangan ini meliputi lelaki dan perempuan. Tujuan larangan tersebut antara lainnya ialah untuk membersihkan rumahtangga dari kemewahan yang terkeji.

BEJANA ORANG KAFIR

Dari Abu Sa'labah Al-Khushani R.a, katanya: Aku bertanya kepada Nabi Muhammad S.a.w. "Ya Rasulullah, kami berada di tempat kaum Yahudi dan Nasrani, oleh itu bolehkah kami makan dalam bejana- bejana mereka?" Baginda menerangkan dengan bersabda:" Jangan kamu makan dalam bejana- bejana mereka kecuali kamu tidak dapat yang lainnya, (jika demikian) maka cucilah bejana- bejana itu dan makanlah di dalamnya."
(Hadis Sahih- Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis di atas adalah berikutan oleh kebiasaannya yang mana bejana orang kafir itu (meliputi pinggan mangkuk, cawan, gelas dan periuk belanganya) bergelumang dengan benda- benda yang najis seperti arak dan babi.

JIKA TIDAK MEMBERATI

Dari Abu Hurairah R.a, dari Nabi  Muhammad S.a.w, sabanya: "Kalaulah tidak aku akan memberati orang- orang yang beriman (umatku), nescaya aku akan perintahkan mereka bersugi pada tiap- tiap kali mereka mengerjakan sembahyang."
(Hadis Sahih- Riwayat Muslim)

HAK SESEORANG MUSLIM

Dari Abu Hurairah R.a, katanya: Rasulullah S.a.w bersabda: " Hak seseorang muslim atas seseorang muslim yang lain, enam perkara". Sahabat Nabi bertanya:" Apa dia ya Rasulullah?". Baginda menjawab: "(perkara- perkara itu ialah): apabila engkau bertemu dengannya maka berilah salam kepadanya, dan apabila ia menjemputmu maka hadirlah majlis perkahwinannya, dan apabila ia meminta nasihatmu maka nasihatilah dia, dan apabila ia bersin lalu menyebut: Alhamdulillah, maka doakanlah (semoga ia beroleh rahmat), dan apabila ia sakit maka lawatilah dia, dan apabila ia mati maka ikutilah jenazahnya."
(Hadis Sahih- Riwayat Muslim)