MEMBACA DOA KELUAR RUMAH


Dari Anas bin Malik r.a, katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: "sesiapa yang berdoa (apabila ia keluar dari rumahnya) dengan menyebut:
بسم الله توكلت علی الله لا حول ولا قوة إلا بالله , berkatalah (malaikat) kepadanya: 'engkau beroleh pertolongan (untuk menjayakan hajatmu) dan engkau terselamat (dari bahaya atau angkara musuh)'; dan (selain itu- sabda baginda lagi): syaitan menjauhkan diri daripadanya."
(Hadis Hasan Sahih Gharib- Riwayat Tirmizi)


Ertinya: " (aku mulakan usaha ini) dengan nama Allah, (dan) aku berserah bulat- bulat kepada Allah, (aku mengakui bahawa aku) tiada daya (untuk menjauhi sesuatu yang berbahaya), dan tiada upaya (untuk melakukan kebaikan) melainkan dengan pertolongan Allah."

Doa yang mulia ini digalakkan membacanya apabila kita melangkah keluar dari rumah, samada untuk pergi ke masjid dan ke surau mengerjakan amal ibadat, atau untuk pergi ke mana- mana sahaja untuk menjalankan tugas bagi mencari rezeki.

Doa ini pendek tapi padat isinya, supaya mudah dihafaz dan diamalkkan sepanjang hayat di kandung badan, sebagai seorang islam yang sempurna imannya, yang sentiasa 'mengingati Allah' dalam segala keadaan, dan yang sentiasa 'berserah bulat- bulat' kepada Allah sesudah berusaha dan berikhtiar, dan juga yang sentiasa mengenal diri sendiri sebagai makhluk yang lemah, kerana Allah jualah yang maha kuasa, yang diharapkan pertolongannya untuk mencapai kejayaan dan diharapkan perlindungannya dari segala bahaya.

Berkat doanya itu serta keyakinannya yang demikian, akan berhasil lah apa yang dipohonkannya. Hakikat ini diakui oleh malaikat yang menjadi pengiringnya sebagaimana yang diterangkan di dalam hadis itu.


Dalam sebuah hadis lagi (Hadis Sahih- Riwayat Muslim) bahawa Rasulullah s.a.w keluar dari rumahnya untuk pergi mengerjakan sembahyang di masjid dengan membaca doa yang berikut:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ فيِ قَلْبِي نُورًا، وَفيِ لِسَانيِ نوُرًا، وَاجْعَلْ فيِ سَمْعيِ نُورًا، وَفيِ بَصَرِي نُورًا، وَاجْعَلْ مِنْ خَلفِي نُورًا، وَمِنْ أَمَامِي نُورًا، وَاجْعَلْ مِنْ فَوْقِي نُورًا، وَمِنْ تَحْتِي نُورًا، اللّٰهُمَّ أَعْطِنِي نُورًا


Ertinya:

"Ya Allah ya Tuhanku, jadikanlah nur (cahaya) dalam hatiku dan nur cahaya pada lidahku dan jadikanlah juga nur pada pendengaranku dan nur pada penglihatanku dan jadikanlah juga nur dari belakangku dan dari hadapanku dan jadikanlah juga nur dari sebelah atasku dan nur dari sebelah bawahku; ya Allah ya Tuhanku, berilah aku nur (yang menerangi seluruh hidupku)."

Cahaya: Hidayah petunjuk, supaya keyakinan, tutur kata dan amalanku sentiasa berdasarkan ajaran islam.

PUJIAN BERBETULAN DENGAN MALAIKAT


Dari Abu Hurairah r.a, dari Nabi s.a.w sabdanya: "Apabila imam membaca: سمع الله لمن حمده، maka hendaklah kamu membaca : اللهم ربنا لك الحمد، kerana sesiapa yang berbetulan bacannya dengan bacaan malaikat (yang juga membacanya), nescaya diampunkan dosanya yang telah lalu".

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Di antara bacaan-bacaan dalam sembahyang ialah: "سمع الله لمن حمده" yang dibaca semasa bangkit dari rukuk kepada iktidal. Maksud bacaan ini ialah: Semoga Alah menerima pujian orang yang memujinya.

Sebaik- baik sahaja bacaan yang tersebut selesai dibaca, maka setiap orang yang sembahyang dituntut memuji Tuhan dengan berkata: "اللهم ربنا لك الحمد". Pujian ini juga diucapkan oleh malaikat pada saat itu juga.

Dalam hadis ini diterangkan tentang faedah ucapan pujian yan tersebut, iaitu sesiapa yang bertepatan ucapan pujannya itu dengan ucapan pujian malaikat nescaya ia akan beroleh keampunan Alah s.w.t pada saat yang mulia itu.

Walahu a'lam

BENCANA PADA TUBUH BADAN


Di antara malaikat, ada yang ditugaskan menulis amal- amal soleh yang biasa dikerjakan oleh seseorang, yang kemudian ia terhenti melakukannya disebabkan bencana yang menimpanya.

Dari Anas r.a, bahawa Nabi s.a.w bersabda: "apabila seseorang mukmin diuji oleh Allah dengan sesuatu bencana pada tubuhnya, Allah s.w.t berfirman kepada malaikat penulis amalnya: " tulislah juga untuknya amal- amal soleh yang biasa ia lakukan; kemudian juga Tuhan hilangkan bencana yang menimpanya itu, Tuhan jadikan dia hidup berkeadaan baharu, bersih suci dari dosanya dan jika Tuhan mengambil nyawanya, diberinya keampunan serta dikurniakan rahmat kepadanya."

(Hadis Riwayat Ibnu Abi Shaibah, Imam Ahmad dan Baihaqi)

Sekiranya seseorang itu ditimpa kemalangan maka hendaklah ia menerima kejadian itu dengan tabah hati dan bersabar, kerana sikap yang demikian akan membawa kebaikan kepadanya.

Di antara kebaikan- kebaikan itu ialah:

1) Jika ia biasa mengerjakan sesuatu amal yang baik semasa ia berkeadaan sihat, kemudian ia tidak dapat mengerjakannya disebabkan bencana yang menimpanya, maka Tuhan perintahkan malaikat penulis amalnya supaya menuliskan untuknya amalnya yang baik yang tak dapat dikerjakan itu;

2) Jika Tuhan hapuskan kesan- kesan bencana yang menimpanya itu, maka Tuhan jadikan bencana itu sebagai 'kifarah' yang menghapuskan dosa- dosanya yang telah lalu serta dijadikannya hidup berkeadaan baharu, suci bersih dari dosa;

3) Jika Tuhan sempurnakan ajalnya dengan kemalangan itu, maka ia diberi ampunan dan dilimpahkan rahmat kepadanya.

Hakikat itu ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w dalam satu hadisnya yang lain, maksudnya: " Tiap- tiap seseorang hendaklah menggunakan masa sihatnya untuk mengerjakan amal- amal soleh dan sekiranya ia ditimpa bencana maka hendaklah ia menerimanya dengan sabar."

Wallahu a' lam..

ORANG MUKMIN DAN KAFIR KETIKA HENDAK MATI


Dari Al-Bara' bin 'Azib r.a, katanya: Kami telah keluar bersama2 Nabi s.a.w mengiringi jenazah seorang lelaki dari kaum ansar, lalu kami sampai di kuburnya yang disediakan. Rasulullah s.a.w pun duduk di sekelilingnya dengan keadaan tidak bergerak dan membisu, manakala baginda s.a.w pula mencucuk- cucuk tanah dengan seranting kayu yang ada di tangannya. Setelah itu baginda s.a.w mengangkat kepalanya lalu bersabda: "mintalah kamu perlindungan kepada Allah dari pada azab kubur" (diulanginya sabdanya itu) dua atau tiga kali; kemudian baginda s.a.w bersabda lagi: "Sesungguhnya hamba Allah yang mukmin (ketika hendak mati) apabila ia berada dalam keadaan terputus dari dunia dan sedang menghadapi akhirat, akan turunlah kepadanya malaikat- malaikat dari langit, putih berseri muka mereka, seolah- olah matahari, dengan membawa kain kapan bersama mereka dari kain- kain kapan syurga, dan hanut dari yang ada di syurga, sehingga mereka duduk jarak daripadanya sejauh mata memandang. Kemudian datang malaikat maut, lalu duduk di sisi kepalanya sambil menyerunya dengan berkata: 'wahai jiwa yang baik! keluarlah (dan pada satu riwayat ada disebutkan: orang yang hendak mati dihadiri-saat nazaknya- oleh malaikat, maka sekiranya orang itu seorang yang soleh, berkatalah malaikat: 'keluarlah engkau....) menuju ke tempat keampunanNya dan keredhaan Allah'." Baginda s.a.w bersabda lagi: "kemudian roh orang itu keluar- mengalir seperti mengalirnya setitik air dari mulut bekas air (yang terbuat dari kulit kambing), lalu malaikat maut mengambilnya, maka apabila ia mengambilnya, malaikat- malaikat (yang ditugaskan untuk itu) tidak membiarkannya di tangan malaikat maut walau sekelip mata pun lalu mereka mengambilnya; kemudian mereka meletakkannya di dalam kain kafan dan hanut yang tersebut; dan keluar pula dari roh itu bau yang harumnya seperti seharum- harum kasturi yang terdapat di atas muka bumi. "Baginda s.a.w bersabda lagi: "Kemudian mereka membawanya naik ke langit, maka mereka tidak melaluinya (semasa membawanya) mana- mana kumpulan malaikat melainkan kumpulan malaikat itu berkata: 'roh yang baik ni roh siapa?' mereka menjawab: 'roh si anu anak si anu' (dengan menyebutkan sebaik- baik namanya yang biasa mereka menamakannya dengan nama- nama itu di dunia), (demikianlah halnya) sehingga berakhirlah perjalanan mereka membawanya ke langit yang pertama; setelah itu mereka meminta dibukakan pintu langit untuknya, lalu dibukakan pintu untuk mereka; kemudian malaikat- malaikat yang berkedudukan istimewa di sisi Tuhan dari penduduk tiap- tiap langit menghantar roh itu beramai- ramai hingga ke langit yang berikutnya, sehinggalah mereka berhenti membawanya di langit yang ke tujuh. Setelah itu Allah 'Azzawajalla berfirman kepada malaikat- malaikat (yang ditugaskan untuk itu): ' simpanlah suratan amal hambaku ini dalam 'illiyiin (tempan simpanan surat amal orang- orang yang berbakti) dan bawalah dia balik ke bumi, kerana sesungguhnya aku telah menciptakan manusia dari bumi, dan ke bumi juga aku kembalikan mereka, serta dari bumi pula aku keluarkan mereka sekali lagi'..."

Baginda s.a.w bersabda lagi: "dan sesungguhnya orang yang kafir (ketika hendak mati) apabila ia berada dalam keadaan terputus dari dunia dan sedang menghadapi akhirat, akan turunlah kepadanya malaikat- malaikat dari langit, hitam muka mereka, dengan membawa kain- kain kasar seperti kain kadut; lalu mereka duduk jarak daripadanya sejauh mata memandang. Kemudian datang malaikat maut, lalu duduk di sisi kepalanya sambil menyeru dengan berkata: 'wahai jiwa yang jahat! keluarlah (dan pada satu riwayat ada disebutkan: maka apabila orang itu orang jahat, berkatalah malaikat: 'keluarlah engkau...) menuju ke tempat kebencian dan kemurkaan Allah'." Baginda s.a.w bersabda lagi: "kemudian roh orang itu berselerak di merata jasadnya (kerana takut hendak keluar), lalu disentap rohnya itu oleh malaikat maut sebagaimana sebatang besi pembakar daging disentap dari segumpal bulu yang basah; malaikat maut pun mengambilnya, maka apabila ia mengambilnya, malaikat- malaikat (yang ditugaskan untuk itu) tidak membiarkannya di tangan malaikat maut walau sekelip mata pun sehingga mereka meletakkannya dalam kain kasar yang tersebut; dan keluar pula dari roh itu bau yang busuknya seperti sebusuk-busuk bau bangkai yang ada di atas muka bumi. Kemudian mereka membawanya naik ke langit, maka mereka tidak melaluinya (semasa membawanya) mana- mana kumpulan malaikat melainkan kumpulan malaikat itu berkata: 'roh yang jahat ini roh siapa?' Mereka menjawab: 'roh si anu anak si anu,' (dengan menyebutkan seburuk- buruk namanya yang biasa dipanggil dengan nama- nama itu di dunia);  (demikianlah halnya) sehingga berakhirlah perjalanan mereka membawanya ke langit yang pertama, setelah itu mereka meminta dibukakan pintu langit untuknya, tetapi tidak dibukakan baginya. Kemudian Rasulullah s.a.w membaca (ayat 40 surah Al 'Araf, ertinya): "....tidak sekali- kali akan dibukakan bagi mereka pintu- pintu langit dan mereka tidak akan masuk syurga hingga unta masuk di lubang jarum...". (kemudian baginda s.a.w bersabda): "lalu Allah 'Azzawajalla berfirman kepada malaikat: 'simpanlah suratan amal jahatnya di dalam sijjin (tempat simpanan surat amal jahat orang- orang yang berdosa), yang letaknya di bumi yang ke bawah sekali. Lalu dicampakkan rohnya ke situ..." (Hadis Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, An-Nasaie dan Ibnu Majah)


Hanut: Serbuk campuran dari benda- benda yang harum yang ditabur kepada mayat semasa dikafankan.