MEMBACA DOA KELUAR RUMAH


Dari Anas bin Malik r.a, katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: "sesiapa yang berdoa (apabila ia keluar dari rumahnya) dengan menyebut:
بسم الله توكلت علی الله لا حول ولا قوة إلا بالله , berkatalah (malaikat) kepadanya: 'engkau beroleh pertolongan (untuk menjayakan hajatmu) dan engkau terselamat (dari bahaya atau angkara musuh)'; dan (selain itu- sabda baginda lagi): syaitan menjauhkan diri daripadanya."
(Hadis Hasan Sahih Gharib- Riwayat Tirmizi)


Ertinya: " (aku mulakan usaha ini) dengan nama Allah, (dan) aku berserah bulat- bulat kepada Allah, (aku mengakui bahawa aku) tiada daya (untuk menjauhi sesuatu yang berbahaya), dan tiada upaya (untuk melakukan kebaikan) melainkan dengan pertolongan Allah."

Doa yang mulia ini digalakkan membacanya apabila kita melangkah keluar dari rumah, samada untuk pergi ke masjid dan ke surau mengerjakan amal ibadat, atau untuk pergi ke mana- mana sahaja untuk menjalankan tugas bagi mencari rezeki.

Doa ini pendek tapi padat isinya, supaya mudah dihafaz dan diamalkkan sepanjang hayat di kandung badan, sebagai seorang islam yang sempurna imannya, yang sentiasa 'mengingati Allah' dalam segala keadaan, dan yang sentiasa 'berserah bulat- bulat' kepada Allah sesudah berusaha dan berikhtiar, dan juga yang sentiasa mengenal diri sendiri sebagai makhluk yang lemah, kerana Allah jualah yang maha kuasa, yang diharapkan pertolongannya untuk mencapai kejayaan dan diharapkan perlindungannya dari segala bahaya.

Berkat doanya itu serta keyakinannya yang demikian, akan berhasil lah apa yang dipohonkannya. Hakikat ini diakui oleh malaikat yang menjadi pengiringnya sebagaimana yang diterangkan di dalam hadis itu.


Dalam sebuah hadis lagi (Hadis Sahih- Riwayat Muslim) bahawa Rasulullah s.a.w keluar dari rumahnya untuk pergi mengerjakan sembahyang di masjid dengan membaca doa yang berikut:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ فيِ قَلْبِي نُورًا، وَفيِ لِسَانيِ نوُرًا، وَاجْعَلْ فيِ سَمْعيِ نُورًا، وَفيِ بَصَرِي نُورًا، وَاجْعَلْ مِنْ خَلفِي نُورًا، وَمِنْ أَمَامِي نُورًا، وَاجْعَلْ مِنْ فَوْقِي نُورًا، وَمِنْ تَحْتِي نُورًا، اللّٰهُمَّ أَعْطِنِي نُورًا


Ertinya:

"Ya Allah ya Tuhanku, jadikanlah nur (cahaya) dalam hatiku dan nur cahaya pada lidahku dan jadikanlah juga nur pada pendengaranku dan nur pada penglihatanku dan jadikanlah juga nur dari belakangku dan dari hadapanku dan jadikanlah juga nur dari sebelah atasku dan nur dari sebelah bawahku; ya Allah ya Tuhanku, berilah aku nur (yang menerangi seluruh hidupku)."

Cahaya: Hidayah petunjuk, supaya keyakinan, tutur kata dan amalanku sentiasa berdasarkan ajaran islam.

PUJIAN BERBETULAN DENGAN MALAIKAT


Dari Abu Hurairah r.a, dari Nabi s.a.w sabdanya: "Apabila imam membaca: سمع الله لمن حمده، maka hendaklah kamu membaca : اللهم ربنا لك الحمد، kerana sesiapa yang berbetulan bacannya dengan bacaan malaikat (yang juga membacanya), nescaya diampunkan dosanya yang telah lalu".

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Di antara bacaan-bacaan dalam sembahyang ialah: "سمع الله لمن حمده" yang dibaca semasa bangkit dari rukuk kepada iktidal. Maksud bacaan ini ialah: Semoga Alah menerima pujian orang yang memujinya.

Sebaik- baik sahaja bacaan yang tersebut selesai dibaca, maka setiap orang yang sembahyang dituntut memuji Tuhan dengan berkata: "اللهم ربنا لك الحمد". Pujian ini juga diucapkan oleh malaikat pada saat itu juga.

Dalam hadis ini diterangkan tentang faedah ucapan pujian yan tersebut, iaitu sesiapa yang bertepatan ucapan pujannya itu dengan ucapan pujian malaikat nescaya ia akan beroleh keampunan Alah s.w.t pada saat yang mulia itu.

Walahu a'lam

BENCANA PADA TUBUH BADAN


Di antara malaikat, ada yang ditugaskan menulis amal- amal soleh yang biasa dikerjakan oleh seseorang, yang kemudian ia terhenti melakukannya disebabkan bencana yang menimpanya.

Dari Anas r.a, bahawa Nabi s.a.w bersabda: "apabila seseorang mukmin diuji oleh Allah dengan sesuatu bencana pada tubuhnya, Allah s.w.t berfirman kepada malaikat penulis amalnya: " tulislah juga untuknya amal- amal soleh yang biasa ia lakukan; kemudian juga Tuhan hilangkan bencana yang menimpanya itu, Tuhan jadikan dia hidup berkeadaan baharu, bersih suci dari dosanya dan jika Tuhan mengambil nyawanya, diberinya kemapunan serta dikurniakan rahmat kepadanya."

( Hadis Riwayat Abnu Abi Shaibah, Imam Ahmad dan Baihaqi)

Sekiranya seseorang itu ditimpa kemalangan maka hendaklah ia menerima kejadian itu dengan tabah hati dan bersabar, kerana sikap yang demikian akan membawa kebaikan kepadanya.

Di antara kebaikan- kebaikan itu ialah:

1) Jika ia biasa mengerjakan sesuatu amal yang baik semasa ia berkeadaan sihat, kemudian ia tidak dapat mengerjakannya disebabkan bencana yang menimpanya, maka Tuhan perintahkan malaikat penulis amalnya supaya menuliskan untuknya amalnya yang baik yang tak dapat dikerjakan itu;

2) Jika Tuhan hapuskan kesan- kesan bencana yang menimpanya itu, maka Tuhan jadikan bencana itu sebagai 'kifarah' yang menghapuskan dosa- dosanya yang telah lalu serta dijadikannya hidup berkeadaan baharu, suci bersih dari dosa;

3) Jika Tuhan sempurnakan ajalnya dengan kemalangan itu, maka ia diberi ampunan dan dilimpahkan rahmat kepadanya.

Hakikat itu ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w dalam satu hadisnya yang lain, maksudnya: " Tiap- tiap seseorang hendaklah menggunakan masa sihatnya untuk mengerjakan amal- amal soleh dan sekiranya ia ditimpa bencana maka hendaklah ia menerimanya dengan sabar."

Wallahu a' lam..