SEBAIK- BAIK PAKAIAN

Dari Ibnu Abbas R.a, bahawa Rasulullah S.a.w bersabda: "Pakailah yang putih dari pakaian kamu, kerana pakaian yang putih itu adalah sebaik- baik pakaian kamu; dan kafankanlah orang- orang mati dari kalangan kamu dalam kain putih juga."
(Hadis Sahih- Riwayat Tirmizi)

Semasa hayat Rasulullah S.a.w menerangkan bahawa sebaik- baik pakaian ialah yang berwarna putih (yang melambangkan kebersihan dan kesucian).

MENDENGAR SERUAN AZAN

Dari Abu Said Al-Khudri R.a, bahawa Rasulullah S.a.w bersabda: "Apabila kamu mendengar seruan Azan, maka jawablah sebagaimana yang disebut oleh bilal (penyeru Azan) itu."
(Hadis Sahih- Riwayat Bukhari dan Muslim)


Dari hadis ini dapat difaham bahawa apabila kita mendengar seruan azan, hendaklah mendengarnya dengan penuh adab tertib dan khusyuk kerana kandungannya yang menegaskan keesaan dan kebesaran Allah Ta'ala serta kebenaran rasul-Nya, Nabi Muhammad S.a.w. Juga kerana seruan itu mengajaknya beribadat untuk mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat.

Dalam Al- Quran disebutkan perihal "Azan" seperti berikut:
"Wahai orang- orang yang beriman, apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu)..."
(Surah Al- Jumuah, ayat 9)

Diterangkan lagi mengenai "Azan" secara umum:
"dan apabila kamu menyerukan (seruan azan) untuk mengerjakan sembahyang, mereka (musuh Islam) menjadikan (seruan Azan dan) sembahyang itu sebagai ejekan- ejekan dan permainan..."
(Surah Al- Maidah, ayat 58)

ANGKARA LIDAH

Dari Muaz Bin Jabal R.a, katanya: aku ada bersama- sama dengan Nabi Muhammad S.a.w dalam salah satu pelayaran maka pada suatu hari aku dapat berdamping dengannya semasa kami meneruskan perjalanan; aku pun bertanya dengan berkata : "Ya Rasulullah, beritahu kepada saya sesuatu amal yang menyebabkan saya masuk syurga dan menjauhkan saya daripada api neraka." Rasulullah S.a.w menjawab: "Sesungguhnya engkau wahai Muaz telah bertanya kepadaku mengenai suatu perkara yang besar, dan sebenarnya perkara itu adalah mudah bagi orang yang telah dimudahkan Allah untuk mencapainya; (amal bakti yang engkau tanyakan itu ialah): beribadatlah kepada Allah dan janganlah engkau berlaku syirik kepada-Nya dengan sesuatu yang lain (sebagaimana yang tersimpul dalam dua kalimah Syahadat), dan dirikanlah sembahyang, berilah zakat, berpuasalah pada bulan Ramadhan, dan kerjakanlah haji." Kemudian Rasulullah S.a.w menerangkan lagi:" Mahukah aku tunjukkan kepadamu pintu- pintu kebajikan? Berpuasa (yang fardhu dan yang sunat) ialah pendinding (dari azab neraka), dan sedekah itu pula memadamkan dosa sebagaimana air memadami api, dan (demikian juga) sembahyang yang dikerjakan oleh seseorang pada waktu jauh malam." Kata Muaz lagi: kemudian Rasulullah S.a.w membaca (ayat- ayat suci): " تتجافى جنوبهم عن المضاجع " hingga sampai kepada "يعملون ". Kemudian Rasulullah S.a.w bersabda:" Mahukah aku nyatakan kepadamu mengenai kepala atau asas agama keseluruhannya, dan tiangnya serta kemuncaknya?".  "aku menjawab:"mahu (terangkan perkara itu) ya Rasulullah!". Rasulullah S.a.w bersabda: "Kepala atau asas agama (yang aku bawa) itu ialah (melafazkan dua kalimah syahadat yang mengesahkan) Islam, tiangnya ialah sembahyang, dan kemuncaknya pula ialah berjihad pada jalan Allah". Kemudian Rasulullah S.a.w bersabda lagi:" Mahukah aku nyatakan kepadamu mengenai perkara yang menjadi teras (atau yang dengan sebabnya dapat memiliki) semuanya itu?" Aku menjawab:" Mahu Ya Nabi Allah!" Rasulullah S.a.w pun memegang (hujung) lidahnya, lalu bersabda:" Jagalah (lidah) ini daripada menyebabkan engkau ditimpa sesuatu yang tidak diingini".
Aku pun bertanya:" Ya Nabi Allah, adakah kami akan dikira bersalah dan dihukum, disebabkan apa yang kami tuturkan?". Rasulullah S.a.w bersabda:" (Kalau perkara yang nyata ini engkau tidak juga mengetahuinya), lebih baik sahaja engkau mati wahai Muaz, bukankah yang menjerumuskan manusia ke dalam neraka di atas mukanya atau di atas hidungnya ialah hasil angkara lidahnya?" .
(Hadis Hasan Sahih- Riwayat Tirmizi)

PEREMPUAN AHLI SYURGA

Ata’ bin Abi rabah berkata, Ibnu Abbas r.a telah bertanya kepadanya, “Mahukah aku tunjukkan kepada engkau seorang perempuan ahli syurga ?” Jawab Ata, “Bahkan, siapakah perempuan itu ?” Ibnu Abbas berkata, “Perempuan hitam itu telah menemui Rasulullah s.a.w mengadu ia telah dirasuk.” Sabda Rasulullah s.a.w kepada perempuan itu, “Jika engkau tahan dan sanggup bersabar maka syurga bagimu, sekiranya engkau tidak tahan dan tidak sanggup bersabar aku akan mendoakan engkau supaya engkau pulih segar.” Jawab perempuan itu, “Aku tahan dan sanggup bersabar (maka baginya syurga)”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dari sini dapatlah satu keterangan, bahawa penyakit sarak atau rasukan bukanlah ia sesuatu yang baru tetapi telah diketahui sejak zaman berzaman dari zaman Nabi dan sahabat.

MERINGANKAN SOLAT JUMAAT

Dari Jabir Bin Abdullah R.a katanya: Rasulullah S.a.w telah berucap kepada kami, sabdanya:" Wahai umat manusia (yang beriman), bertaubatlah kepada Allah sebelum kamu mati. Dan segeralah mengerjakan amal- amal yang soleh sebelum kamu diganggu (oleh sakit pening dan keadaan tua atau uzur).
Hubungkanlah pertalian yang ada di antara kamu dengan Tuhan kamu, dengan memperbanyak menyebut dan mengingati-Nya (dalam segala keadaan), dan dengan memperbanyak bersedekah secara sulit atau berterang- terang, nescaya kamu akan diberi rezeki (yang mewah makmur), dan akan ditolong beroleh kejayaan serta akan disempurnakan kekurangan kamu.
Dan selain dari itu ketahuilah sesungguhnya Allah telah mewajibkan ke atas kamu mengerjakan sembahyang Jumaat, mulai dari masa aku berdiri (berkhutbah ini), pada hari ini, pada bulan ini, dari tahun ini hingga hari kiamat.
Oleh itu, sesiapa yang meninggalkan sembahyang Jumaat dalam masa aku hidup atau sesudah aku wafat, sedang ia ada imamnya (ketua pemerintahannya) yang adil atau yang zalim, (dan perbuatan meninggalkan Jumaat itu bukan disebabkan uzur syar'ei tetapi kerana ia) sengaja meringan- ringankannya atau mengingkarinya, maka (orang yang demikian), semoga Allah menjadikan hidupnya porak poranda, dan tidak diberi berkat pada urusannya.
Ketahuilah, orang itu juga tidak diterima sembahyangnya, zakatnya, hajinya, puasanya dan apa- apa jua perbuatan kebajikannya sehingga ia bertaubat (tidak ada jalan baginya selain daripada bertaubat) kerana sesiapa yang bertaubat (dengan sebenar- benarnya), Allah menerima taubatnya."
(Hadis Riwayat Ibnu Majjah)

MEMBERI SALAM TAKZIAH

Dari 'Amri Bin Hazmin R.a, dari Nabi Muhammad S.a.w, sabdanya: "Mana- mana orang mukmin yang mengucapkan takziah kepada saudaranya yang sesama Islam, yang sedang menanggung sesuatu kesusahan dan ujian berat, melainkan ia akan diberi balasan yang sebaik- baiknya oleh Allah Azzawajalla, iaitu dimuliakan dan dipakaikan (dengan persalinan yang serba indah) dari pakaian- pakaian kemuliaan pada hari kiamat kelak."
(Hadis Hasan- Riwayat Ibnu Majah dan Al- Baihaqi) 

Masa bertakziah ialah selama tiga hari, mulai dari hari si mati dikebumikan tetapi kalau orang yang hidup mengucapkan takziah atau orang yang hendak diucapkan takziah kepadanya tidak ada dalam masa yang tersebut, maka bolehlah dilakukan selepas itu.

Takziah boleh diucapkan dengan sebarang lafaz yang mengandungi maksud melipurkan hati orang yang kematian dengan memintanya bersabar dan mendoakan bagi si mati.

IBU BAPA YANG KE SYURGA

Dari Anas R.a, katanya: Rasulullah S.a.w bersabda:" Mana- mana orang Islam yang (mengalami) kematian tiga orang anaknya yang masih belum baligh lagi, melainkan ia (suami isteri) akan dimasukkan Allah S.w.t ke dalam syurga, dengan sebab limpah kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kanak- kanak itu (yang bersih suci dari dosa)."
(Hadis Sahih- Riwayat Bukhari)

Ibu bapa yang kematian dua anak, juga mendapat balasan yang sama seperti yang kematian tiga anaknya. Ini diterangkan di dalam hadis sahih Riwayat Imam Bukhari Rahimahullah, dari Abu said Al- Khudri, R.a: bahawa semasa Rasulullah S.a.w menerangkan kepada sekumpulan kaum ibu tentang balasan baik yang akan didapati oleh orang Islam yang kematian tiga orang anaknya, seorang ibu (ibu kepada Anas Bin Malik R.a) yang hadir bertanya: " Jika kematian dua anak pula bagaimana?" Baginda menjawab: "dua anak pun, begitu juga balasannya."

Malah orang Islam yang kematian seorang anak pun mendapat balasan yang sama seperti yang kematian tiga atau dua orang anaknya. Ini dapat difaham dari sebuah hadis sahih Riwayat  Imam Bukhari Rahimahullah, dari Abu Hurairah R.a.

Hadis- hadis ini juga menjadi dalil bahawa anak- anak orang Islam yang mati sebelum baligh bulat- bulat masuk syurga kerana kalau mereka menjadi sebab kemasukan ibu bapanya ke dalam syurga, maka diri kanak- kanak itu sendiri lebih aula (dan juga kerana tidak dikira berdosa sebelum baligh).

Dalam sesebuah hadis juga diterangkan: bahawa anak orang Islam yang mati sebelum baligh, akan mendahului kedua ibu bapanya di pintu syurga dan akan membukanya untuk mereka. (Hadis Hasan, Riwayat Imam An- Nasaie Rahimahullah.

Masalah anak orang kafir
Anak orang- orang kafir yang mati sebelum baligh meskipun ada bahasannya kerana ada keterangan- keterangan (hadis) yang berlain- lainan mengenainya, tetapi kesimpulannya bahawa mereka di tempatkan di dalam syurga. Menurut Imam Nawawi Rahimhullah, inilah kesimpulan yang sahih yang dipilih dan diakui oleh alim ulama' ahli tahkik. (Fathul Bari)

Wallahu a'lam..

BERJEMAAH MENJAUHKAN SYAITAN

Dari Abu Ad-Darda' R.a: Rasulullah S.a.w bersabda: "Tidak ada tiga orang (lelaki) dalam sesebuah kampung atau sesebuah desa yang tidak mengerjakan sembahyang berjemaah, melainkan mereka (mudah) dikuasai oleh syaitan (dengan menjadikan mereka mencuaikan perintah syarak); oleh itu hendaklah engkau sentiasa menyatukan diri dengan jemaah (kerana dengan itulah sahaja engkau akan selamat dari angkara syaitan)....."
(Hadis Hasan- Riwayat Imam Ahmad)

Dalam hadis ini diterangkan bahawa tiap- tiap kampung samada yang terletak dalam bandar atau di luar bandar atau pun yang terpencil jauh hendaklah penduduknya mengerjakan sembahyang berjemaah di masjid atau di surau sekalipun mereka hanya seramai tiga orang sahaja dari kaum lelaki kerana amalan berjemaah samada dalam bidang mengerjakan amal ibadat atau dalam bidang- bidang hidup yang lain lebih baik daripada sikap memencilkan diri.

Dalam hadis ini juga ditegaskan bahawa sikap memencilkan diri bukan sahaja merugikan, bahkan orang- orang yang bersikap demikian mudah dikuasai oleh syaitan dengan hasutan- hasutannya.

Wallahu a'lam..