QADAR TAKDIR (1)

Dari Abdullah Bin 'Amru Bin Al-'As R.a, katanya:'aku ada mendengar Rasulullah S.a.w, bersabda: "Allah telah memerintahkan supaya ditulis segala qadar takdir sekalian makhluk sebelum ia menjadikan langit dan bumi dengan satu tempoh masa yang amat lanjut..."
(Hadis Riwayat Muslim dan Tarmizi)

Dengan hadis ini Rasulullah S.a.w menerangkan bahawa qadar takdir bagi segala kejadian telah disediakan oleh Allah S.w.t dan setelah ia menjadikan qalam, ia memerintahkan qalam supaya menulis, lalu qalam bertanya, sebagaimana yang tersebut pada hadis Ibadat Bin Al-Samat R.a, yang diriwayatkan oleh Al- Tarmizi:" apakah perkara yang Tuhan perintahkan aku menulisnya?" Tuhan berfirman:" Tulislah qadar takdir yang ditetapkan bagi segala yang telah ada dan yang telah berlaku, dan juga segala yang akan ada serta yang akan berlaku seterusnya."

Wallahu a'lam.

HATI ORANG TUA

Dari Abu Hurairah R.A, Bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:" Hati orang tua sentiasa muda dalam dua keadaan: iaitu dalam keadaan kasihkan dunia dan dalam keadaan panjang cita- cita."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis ini, Rasulullah S.a.w menyatakan bahawa ada lagi dua perkara yang merugikan manusia kalau tidak dijaga dan diawasinya iaitu kasihkan dunia dan panjang cita- cita.

Dua perkara ini menjadikan seseorang yang telah tua, lali daripada menyediakan bekalan untuk hari akhiratnya, pada hal yang sewajibnya makin ia beransur tua, makin ia membanyakkan amal baktinya kerana ia tidak mungkin lagi kembali kepada kekuatan dan kecergasannya yang telah lalu.

Wallahu a'lam.

AZAB SECARA MERATA

Nabi S.A.W bersabda:"bila perbuatan- perbuatan maksiat di tengah umatku telah nyata, maka Allah akan menimpakan azab-Nya kepada mereka secara merata."
(Hadis Riwayat Imam Ahmad)

Kehadiran kita di dunia ini tak ubahnya seperti mengharungi bahtera yang sedang belayar. Maka, supaya perjalanan aman dan tidak tenggelam oleh kesalahan, kita semua diharuskan untuk saling menjaga satu sama lainnya. Kalau ada seseorang yang membocorkan kapal dengan maksud apa jua pun kita harus serta merta mencegahnya. Kalau tidak, kapal kita akan tenggelam. Menenggelamkan semuanya.Termasuk mereka yang hanya melihat saja atau sama sekali tidak mengetahui kalau kapal tersebut telah dibocorkan.

Wallahu a'lam.

MENGAJAR PERKARA BAIK

Dari Abu Umamah R.A, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:" Sesungguhnya Allah sentiasa memberi rahmat dan Malaikatnya serta penduduk langit dan bumi, sehinggakan semut dalam lubangnya dan ikan di laut sentiasa berdoa untuk sesiapa yang mengajarkan perkara- perkara yang baik kepada orang ramai."
(Hadis Riwayat Tarmizi)

SAKARATUL MAUT

Dari Aisyah R.A, katanya:" Aku tidak memandang elok atau merasa iri hati kepada sesiapa pun dengan sebab mudah dan ringannya sakaratul maut yang dialaminya, sesudah aku melihat kesukaran Rasulullah S.A.W menghadapi sakaratul maut."
(Hadis Riwayat Tarmizi dan Nasai'e)

Dari Aisyah R.a, katanya:" Aku melihat Nabi S.a.w semasa Baginda hampir wafat dan di sisinya sebuah bejana berisi air, dan Baginda memasukkan tangannya ke dalam bejana itu lalu menyapu mukanya, sesudah itu Baginda berdoa:' Ya Tuhanku! Berilah aku pertolongan terhadap penderitaan - penderitaan maut atau sakaratul maut (yang sedang aku hadapi ini)'."
(Hadis Riwayat Tarmizi dan Ibnu Majah)

Dari Anas R.a, bahawa Rasulullah S.a.w bersabda:" Sesungguhnya Tuhan yang Maha suci dan Maha Tinggi berfirman: 'Demi kemuliaan dan kebesaran-Ku! Aku tidak akan mengeluarkan dari dunia (mematikan) seseorang yang aku hendak mengampunkan dosanya sehingga aku sempurnakan balasan tiap- tiap kesalahan yang ditanggungnya dengan ditimpakan penyakit pada badannya dan kepicikan pada rezekinya'."
(Hadis Riwayat Ibnu Razian)

Hadis- hadis yang tersebut menerangkan bahawa "sakaratul maut" adalah suatu keadaan yang tetap yang akan ditempuh oleh setiap orang apabila sampai ajalnya yang telah ditentukan dengan berbagai- bagai cara yanh berat, sukar atau mudah dan senang.

Walaupun demikian, keadaan "sakaratul maut" tidaklah menandakan baik atau tidak nasib seseorang selepas matinya, kerana dari maksud- maksud hadis yang tersebut dapat difaham bahawa susah sukar yang terdapat pada "sakaratul maut" itu memang ada hikmahnya, iaitu boleh jadi Allah S.w.t hendak membersihkan kesalahan- kesalahan yang telah dilakukan oleh seseorang itu atau hendak menggandakan pahala dan meninggikan darjatnya.

Oleh itu tidaklah benar anggapan sesetengah orang yang menyangka bahawa beratnya "sakaratul maut" itu menandakan kemurkaan  Tuhan dan ringannya pula menandakan keredhaan Tuhan.

Sebab itulah Saidatina Aisyah R.a berkata:" Aku tidak merasa iri hati kepada seseorang dengan sebab senang keadaannya ketika ia mengalami  sakaratul maut setelah aku melihat Rasulullah S.a.w sendiri mengalami sakaratul maut dengan keadaan yang agak sukar."

Saidina ar Bin Al-khattab R.a pula berkata:" Apabila seseorang mukmin masih menanggung sedikit daripada dosa- dosa yang tidak dihapuskan oleh amal baiknya, Allah akan menjadikannya menderita susah sukar sakaratul maut  supaya ia dengan penderitaan yang demikian dapat mencapai tingkatan martabatnya dalam syurga. Adapun orang yang kafir pula apabila ia melakukan sesuatu perkara yang baik di dunia maka Tuhan memudahkan dia menghadapi sakaratul maut supaya dengan itu dapat ia menerima balasan kebaikannya itu di dunia kemudian ia akan terus ke neraka pada hari akhirat kelak."

Menurut huraian alim ulama: Tuhan menjadikan Nabi- nabi dan wali- wali-Nya menderita susah sukar "sakaratul maut" hanya untuk menambahkan ketinggian darjat mereka. Adapun orang- orang Islam yang dikenakan mereka mengalami susah sukar "sakaratul maut" adalah menjadi "Kifarah" (penghapus dosa), atau balasan siksa terhadap kesalahan- kesalahan yang mereka lakukan.

Wallahu a'lam.

MEMELIHARA ANAK PEREMPUAN

Dari Aisyah R.A, dari Nabi S.A.W bahawa baginda bersabda:" Sesiapa yang diberati menanggung sesuatu urusan menjaga dan memelihara anak- anak perempuan, lalu ia menjaga dan memeliharanya dengan baik, nescaya mereka menjadi pelindung baginya dari api neraka."                   
(Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Tarmizi)

MENGAMBIL TANAH

Dari Said Bin Zaid R.A bahawa Nabi S.A.W bersabda:" Sesiapa yang mengambil tanah secara zalim sekalipun sejengkal, akan dibelitkan pada hari kiamat dengan tanah yang diperintahkannya mengangkat sebanyak itu dari 7 petala bumi."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

SELAWAT KE ATAS NABI

Dari Umar Bin Rabiah R.A, bahawa Rasulullah S.a.w bersabda:" Sesiapa yang berselawat kepadaku dengan sesuatu selawat, sentiasalah Malaikat berdoa untuknya selama ia berselawat kepadaku, oleh itu terpulanglah kepada seseorang samada ia hendak berselawat sedikit atau banyak." (Hadis Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)

Dari Umar Bin Yasar R.a, dari Nabi S.a.w, sabdanya: " Sesungguhnya ada bagi Allah satu Malaikat yang diberikan kepadanya kuasa mendengar ucapan hamba- hamba Allah semuanya, maka tidak ada seseorang pun yang mengucap sesuatu selawat kepadaku melainkan Malaikat itu menyampaikannya kepadaku."
(Hadis Riwayat Bukhari dalam
kitab Tarikhnya dan Tabrani)

Antara hadis lain menyebutkan:

Dari Abdullah Bin Mas'ud R.a, dari Nabi S.a.w, sabda:" Sesungguhnya ada bagi Allah beberapa Malaikat yang berjalan di merata- rata bumi untuk menyampaikan salam kepadaku dari sesiapa di antara umatku yang memberi salam kepada, sekalipun jauh negeri orang itu dan tempat tinggalnya."
(Hadis Riwayat Imam Ahmad dan An-Nasa'ie)

DILARANG MENYIKSA HAIWAN

Dari Ibnu Umar R.A dari Nabi S.A.W sabdanya:" Sesiapa yang menyiksa haiwan dengan mengerat, mengoyak, mencabut atau mengelar mana- mana anggota, maka ditimpa atasnya laknat Allah dan Malaikat serta Manusia semuanya."
(Hadis Riwayat Tabrani)

DILARANG MENGACUKAN SENJATA

Dari Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi S.A.W bersabda:" Sesiapa yg mengacukan kepada saudara Islamnya dengan sebarang senjata membahayakan, maka sesungguhnya malaikat akan melaknatnya sekalipun yg diacukan kepadanya itu saudaranya yg seibu sebapa."                                        
(Hadis riwayat Muslim dan Tarmizi)

MENJAGA KEHORMATAN SAUDARA

Dari Abu Al-Darda' R.A, dari Nabi S.A.W sabdanya:" Sesiapa yg menolak kata-kata buruk terhadap kehormatan saudaranya, nescaya Allah menolak api neraka daripada mengenainya pada hari qiamat." (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Tarmizi)

UJIAN PENYAKIT

Dari Syadad Bin Aus dan Sunabihi R.A, bahawa keduanya telah masuk melawat seseorang sakit, lalu mereka bertanya kepadanya:" Bagaimana engkau pagi ini?" ia menjawab:"Aku berada dengan keadaan nikmat." Syadad berkata kepadanya:" Bergembiralah dengan perkara-perkara yg menghapuskan dosa- dosa dan mengugurkan kesalahan, kerana aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:" Sesungguhnya Allah S.W.T berfirman :" Apabila Aku menguji seseorang dengan hamba-hambaku yg mukmin dengan sesuatu penyakit, lalu ia memujiku kerana ujianku itu maka sesungguhnya ia akan bangkit dari tempat baringnya seperti masa ia dilahirkan oleh ibunya, bersih dari segala kesalahan dan Tuhan Tabaraka wata'ala berfirman kepada para malaikat penulis amal orang itu:" Aku telah mengikat hambaku itu dan telah mengujinya, maka lakukanlah kepadanya apa yg biasa kamu lakukan untuknya (menulis amal baiknya) semasa ia berkeadaan sihat."
(Hadis Riwayat Imam Ahmad)
                                                  

GUGURNYA DOSA- DOSA (1)

Dari Abdullah Bin Mas'ud R.A, dari Nabi S.A.W , sabdanya : " Tidak ada seseorang Islam yg ditimpakan sesuatu yg menyakiti, iaitu penyakit atau lainnya, melainkan Allah gugurkan dengan sebab itu dosa-dosanya, sebagaimana pokok mengugurkan daunnya (pada musimnya yang tertentu)."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

GUGURNYA DOSA- DOSA (2)

Dari Abu Said Al-Khudri dan Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi S.A.W bersabda: " Tidak ada sesuatu yg menimpa seseorag Islam samada kepenatan, kesakitan, kesusahan memikirkkan perkara yg akan datang, kedukaan, sesuatu yg menyakiti atau kesusahan mengingatkan apa yg telah berlaku sehinggakan tikaman duri yg menyucuknya, melainkan Allah hapuskan dengan sebabnya sebahagian dari dosa- dosanya."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

MENOLONG SAUDARA

Dari Salim, dari bapanya r.a, bahawa Rasulullah S.a.w bersabda: " Orang Islam ialah saudara orag islam yang lain, janganlah ia menganiayakan dan jangan juga ia membiarkannya dianiayakan oleh pihak musuh, sesiapa yang menolong saudaranya mencapai perkara yang diperlukan, Allah pula akan menolongnya mencapai hajatnya, dan sesiapa yang melegakan kesusahan yang dihadapi oleh seseorang muslim, nescaya Allah akan melegakan satu kesusahannya dari kesusahan kesusahan (yang ada pada) hari kiamat, dan sesiapa yang menutup keaiban seseorang muslim, nescaya Allah akan menutup keaibannya pada hari kiamat." 
(Hadis riwayat Sahih dan Muslim)