BACAAN SEMBAHYANG PENDEK- PENDEK


Dari Abu Hurairah R.a, bahawa Rasulullah S.a.w bersabda: " Apabila salah seorang dari kamu menjadi imam sembahyang, maka hendaklah ia mengamalkan bacaan sembahyang yang pendek- pendek, kerana dalam sidang jemaah itu: ada orang yang lemah dan orang sakit serta orang tua; sebaliknya apabila salah seorang dari kamu sembahyang seorang diri, maka bolehlah ia memanjangkan (bacaan sembahyangnya) menurut yang dikehendakinya."
(Hadis Sahih- Riwayat Bukhari)

Dalam hadis ini Rasulullah S.a.w menarik perhatian orang yang menjadi imam supaya menimbangkan keadaan sidang jemaah yang menjadi makmumnya kerana ada di antaranya orang yang lemah, yang sakit dan yang tua; juga terdapat di antaranya, orang yang mempunyai hajat yang hendak dilakukan dengan segera, atau perempuan yang mengandung atau yang menyusukan anak- sebagaimana yang tersebut di dalam beberapa hadis yang lain. Oleh itu janganlah imam memanjangkan bacaan sembahyangnya sehingga menyusahkan makmumnya.¹

Dalam pada itu, sembahyang hendaklah dikerjakan dengan sempurna meliputi rukun- rukun dan sunatnya. Tetapi dalam perkara yang sunat, imam dikehendaki memilih bacaan yang pendek.

Contohnya:
Bacaan surah selepas membaca surah Al-Fatehah, hendaklah dipilih surah yang pendek.


¹. Sebaliknya jika sidang jemaah di situ terhad bilangannya dan mereka bersetuju supaya imam memanjangkan bacaannya (meliputi surah- surah Al- Quran dan doa- doa dalam sembahyang) maka bolehlah ia berbuat demikian.