AMAL ORANG YANG HIDUP PADA YANG TELAH MATI

Dari Anas R.a, katanya bahawa Rasulullah S.a.w bersabda: "Sesungguhnya amal- amal kamu dibentangkan kepada keluarga dan kaum kerabat kamu yang telah mati; maka kalau amal perbuatan kamu itu baik, mereka gembira mengetahuinya, dan kalau sebaliknya, mereka (berdoa untuk kamu dengan) berkata: 'Ya Allah ya Tuhan kami, berilah kaum kerabat kami yang hidup itu hidayah petunjuk, sebagaimana engkau telah memberi hidayah petunjuk kepada kami (sehingga kami mati dalam iman)'."
(Hadis Riwayat Al-Imam Ahmad dan Tirmizi)

Hadis ini disokong oleh sebuah hadis lagi- riwayat At-Tabrani dari Abu Ayub Al-Ansari R.a, menerangkan dua perkara:

Pertama: Apabila seseorang mukmin kembali ke rahmatullah, ia disambut dengan gembiranya oleh orang- orang mukmin yang telah mati lebih dahulu daripadanya, lalu mereka bertanya kepadanya khabar berita orang- orang yang masih hidup yang mereka kenal di dunia dahulu.

Kedua: Menerangkan seperti yang tersebut dalam hadis yang pertama, bahawa amal orang- orang yang hidup (dari satu kesatu masa) dibentang kepada keluarga dan kaum kerabat mereka yang telah mati (untuk diketahui baik dan buruknya).

Jika amal itu baik, maka orang- orang mati itu (rohnya) bergembira sambil berdoa bagi orang yang hidup yang beramal baik itu, dengan berkata:
Maksudnya: "Ya Allah ya Tihan kami, (amal baik yang dikerjakan oleh kerabatku) ini ialah limpah kurnia dan rahmat  dari-Mu, maka sempurnakanlah nikmatmu itu kepadanya (supaya kekal sentiasa), dan matikanlah dari dalam nikmat (iman dan amal soleh) itu."

Kalau pula amal itu buruk, maka mereka (bersedih) sambil berdoa baginya dengan berkata:
Maksudnya: "Ya Allah ya Tuhan kami, berilah ilham kepadanya untuk mengerjakan amal yang soleh yang dengan sebabnya Engkau akan meredhainya dan mendampingkannya di sisi-Mu."

Kedua- dua hadis itu disokong oleh sebuah hadis lagi, riwayat ini Jarir dari Abu Hurairah R.a, yang juga menerangkan dua perkara:

Pertama: Bahawa amal orang- orang yang hidup, dari satu ke satu masa, dibentangkan kepada kaum kerabat mereka yang telah mati. Jika amal mereka baik, maka (roh) orang yang mati itu bergembira, dan jika buruk maka (rohnya) bersukacita.

Kedua: Orang- orang yang mati (dalam keadaan beriman dan beramal soleh) akan dimasukkan dalam kumpulan orang- orang mati yang beroleh rahmat.

Mereka menyambut dengan gembira orang yang baru mati, yang ditempatkan di dalam kumpulan mereka dan bertanyakan kepadanya khabar berita kenalan mereka yang masih hidup.

Bahkan ada yang bertanya kepadanya (kalaulah ia sekampung dengannya di dunia dahulu): adakah isterinya (isteri orang yang bertanya) telah berkahwin lain atau tidak?.