MEMBACA DOA KELUAR RUMAH


Dari Anas bin Malik r.a, katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: "sesiapa yang berdoa (apabila ia keluar dari rumahnya) dengan menyebut:
بسم الله توكلت علی الله لا حول ولا قوة إلا بالله , berkatalah (malaikat) kepadanya: 'engkau beroleh pertolongan (untuk menjayakan hajatmu) dan engkau terselamat (dari bahaya atau angkara musuh)'; dan (selain itu- sabda baginda lagi): syaitan menjauhkan diri daripadanya."
(Hadis Hasan Sahih Gharib- Riwayat Tirmizi)


Ertinya: " (aku mulakan usaha ini) dengan nama Allah, (dan) aku berserah bulat- bulat kepada Allah, (aku mengakui bahawa aku) tiada daya (untuk menjauhi sesuatu yang berbahaya), dan tiada upaya (untuk melakukan kebaikan) melainkan dengan pertolongan Allah."

Doa yang mulia ini digalakkan membacanya apabila kita melangkah keluar dari rumah, samada untuk pergi ke masjid dan ke surau mengerjakan amal ibadat, atau untuk pergi ke mana- mana sahaja untuk menjalankan tugas bagi mencari rezeki.

Doa ini pendek tapi padat isinya, supaya mudah dihafaz dan diamalkkan sepanjang hayat di kandung badan, sebagai seorang islam yang sempurna imannya, yang sentiasa 'mengingati Allah' dalam segala keadaan, dan yang sentiasa 'berserah bulat- bulat' kepada Allah sesudah berusaha dan berikhtiar, dan juga yang sentiasa mengenal diri sendiri sebagai makhluk yang lemah, kerana Allah jualah yang maha kuasa, yang diharapkan pertolongannya untuk mencapai kejayaan dan diharapkan perlindungannya dari segala bahaya.

Berkat doanya itu serta keyakinannya yang demikian, akan berhasil lah apa yang dipohonkannya. Hakikat ini diakui oleh malaikat yang menjadi pengiringnya sebagaimana yang diterangkan di dalam hadis itu.


Dalam sebuah hadis lagi (Hadis Sahih- Riwayat Muslim) bahawa Rasulullah s.a.w keluar dari rumahnya untuk pergi mengerjakan sembahyang di masjid dengan membaca doa yang berikut:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ فيِ قَلْبِي نُورًا، وَفيِ لِسَانيِ نوُرًا، وَاجْعَلْ فيِ سَمْعيِ نُورًا، وَفيِ بَصَرِي نُورًا، وَاجْعَلْ مِنْ خَلفِي نُورًا، وَمِنْ أَمَامِي نُورًا، وَاجْعَلْ مِنْ فَوْقِي نُورًا، وَمِنْ تَحْتِي نُورًا، اللّٰهُمَّ أَعْطِنِي نُورًا


Ertinya:

"Ya Allah ya Tuhanku, jadikanlah nur (cahaya) dalam hatiku dan nur cahaya pada lidahku dan jadikanlah juga nur pada pendengaranku dan nur pada penglihatanku dan jadikanlah juga nur dari belakangku dan dari hadapanku dan jadikanlah juga nur dari sebelah atasku dan nur dari sebelah bawahku; ya Allah ya Tuhanku, berilah aku nur (yang menerangi seluruh hidupku)."

Cahaya: Hidayah petunjuk, supaya keyakinan, tutur kata dan amalanku sentiasa berdasarkan ajaran islam.