SAKARATUL MAUT

Dari Aisyah R.A, katanya:" Aku tidak memandang elok atau merasa iri hati kepada sesiapa pun dengan sebab mudah dan ringannya sakaratul maut yang dialaminya, sesudah aku melihat kesukaran Rasulullah S.A.W menghadapi sakaratul maut."
(Hadis Riwayat Tarmizi dan Nasai'e)

Dari Aisyah R.a, katanya:" Aku melihat Nabi S.a.w semasa Baginda hampir wafat dan di sisinya sebuah bejana berisi air, dan Baginda memasukkan tangannya ke dalam bejana itu lalu menyapu mukanya, sesudah itu Baginda berdoa:' Ya Tuhanku! Berilah aku pertolongan terhadap penderitaan - penderitaan maut atau sakaratul maut (yang sedang aku hadapi ini)'."
(Hadis Riwayat Tarmizi dan Ibnu Majah)

Dari Anas R.a, bahawa Rasulullah S.a.w bersabda:" Sesungguhnya Tuhan yang Maha suci dan Maha Tinggi berfirman: 'Demi kemuliaan dan kebesaran-Ku! Aku tidak akan mengeluarkan dari dunia (mematikan) seseorang yang aku hendak mengampunkan dosanya sehingga aku sempurnakan balasan tiap- tiap kesalahan yang ditanggungnya dengan ditimpakan penyakit pada badannya dan kepicikan pada rezekinya'."
(Hadis Riwayat Ibnu Razian)

Hadis- hadis yang tersebut menerangkan bahawa "sakaratul maut" adalah suatu keadaan yang tetap yang akan ditempuh oleh setiap orang apabila sampai ajalnya yang telah ditentukan dengan berbagai- bagai cara yanh berat, sukar atau mudah dan senang.

Walaupun demikian, keadaan "sakaratul maut" tidaklah menandakan baik atau tidak nasib seseorang selepas matinya, kerana dari maksud- maksud hadis yang tersebut dapat difaham bahawa susah sukar yang terdapat pada "sakaratul maut" itu memang ada hikmahnya, iaitu boleh jadi Allah S.w.t hendak membersihkan kesalahan- kesalahan yang telah dilakukan oleh seseorang itu atau hendak menggandakan pahala dan meninggikan darjatnya.

Oleh itu tidaklah benar anggapan sesetengah orang yang menyangka bahawa beratnya "sakaratul maut" itu menandakan kemurkaan  Tuhan dan ringannya pula menandakan keredhaan Tuhan.

Sebab itulah Saidatina Aisyah R.a berkata:" Aku tidak merasa iri hati kepada seseorang dengan sebab senang keadaannya ketika ia mengalami  sakaratul maut setelah aku melihat Rasulullah S.a.w sendiri mengalami sakaratul maut dengan keadaan yang agak sukar."

Saidina ar Bin Al-khattab R.a pula berkata:" Apabila seseorang mukmin masih menanggung sedikit daripada dosa- dosa yang tidak dihapuskan oleh amal baiknya, Allah akan menjadikannya menderita susah sukar sakaratul maut  supaya ia dengan penderitaan yang demikian dapat mencapai tingkatan martabatnya dalam syurga. Adapun orang yang kafir pula apabila ia melakukan sesuatu perkara yang baik di dunia maka Tuhan memudahkan dia menghadapi sakaratul maut supaya dengan itu dapat ia menerima balasan kebaikannya itu di dunia kemudian ia akan terus ke neraka pada hari akhirat kelak."

Menurut huraian alim ulama: Tuhan menjadikan Nabi- nabi dan wali- wali-Nya menderita susah sukar "sakaratul maut" hanya untuk menambahkan ketinggian darjat mereka. Adapun orang- orang Islam yang dikenakan mereka mengalami susah sukar "sakaratul maut" adalah menjadi "Kifarah" (penghapus dosa), atau balasan siksa terhadap kesalahan- kesalahan yang mereka lakukan.

Wallahu a'lam.